• Hanna

COVID-19: Kajian buktikan usahawan wanita lebih berinovasi berbanding lelaki, namun lebih terkesan

22 Julai 2021

Meskipun Covid-19 tidak mengenal jantina, namun tinjauan yang dilakukan Bank Dunia mendapati, syarikat yang dipimpin wanita lebih teruk terjejas berbanding yang dipimpin lelaki, susulan penularan virus yang 'meranapkan' ekonomi global itu.


Hasil kajian itu mendedahkan, terdapat jurang perbezaan antara usahawan wanita dan lelaki dalam berdepan kesan pandemik, dan ia berada oada tahap yang serius dan membimbangkan.


Bagi memahami impak sebenar terhadap syarikat yang diketuai wanita, World Bank melakukan tinjauan ke atas lebih 45,000 syarikat melibatkan 49 negara, kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana, bermula April hingga September tahun lalu.


Kajian itu mendapati walaupun perniagaan kecil dan mikro yang diketuai wanita lebih berdaya saing, kreatif dan inovasi ketika berdepan cabaran pandemik dengan penggunaan platform digital berbanding usahawan lelaki, namun mereka lebih terkesan.


Memetik blog World Bank, dalam tempoh itu, rangkaian perhotelan yang diusahakan golongan lelaki didapati hanya terjejas kira-kira 60 peratus berbanding wanita sehingga 68 peratus.


Begitu juga dengan perniagaan yang diusahakan kaum hawa, berdepan krisis kewangan lebih serius, apabila kekuatan aliran tunai mereka dilaporkan lebih rendah berbanding syarikat yang dipimpin kaum adam.


Malah, kajian yang sama menunjukkan, peratusan akses kepada program sokongan kerajaan oleh syarikat yang diketuai lelaki adalah lebih tinggi dengan dua mata di depan.


Justeru, kajian itu berpendapat, perlunya ada kesedaran mengenai program sokongan sedia ada supaya golongan wanita turut diberi peluang memanfaatkan faedah yang disediakan.


- PN Online