top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

COVID-19 kembali ancam Liga Perdana Inggeris

17 Disember 2021

LONDON-Pandemik COVID-19 yang awalnya disangka semakin reda ternyata menyerang lagi.

Jadual perlawanan terganggu, pemain-pemain terkesan, kelab-kelab berkecamuk dan pengurusan pening kepala.


Menurut laporan akhbar Daily Mail, jumlah pemain yang terlibat dalam seluruh empat divisyen liga kini telah meningkat secara mendadak dalam tempoh dua minggu lalu akibat penyebaran varian Omicron.


Gara-gara varian ini jugalah, banyak kelab terpaksa beraksi dengan jumlah pemain yang minimum, seperti yang melanda Tottenham Hotspur minggu lalu.


Terkini Liga Perdana Inggeris menangguhkan enam lagi perlawanan susulan penularan virus COVID-19 yang kembali melanda Britain, tetapi menegaskan mereka akan cuba meneruskan jadual sebaik mungkin.Perlawanan antara Leicester dan Tottenham ditunda beberapa jam sebelum sepak mula semalam.


Lima lagi perlawanan untuk hujung minggu ini juga terpaksa ditunda selepas kes melonjak dalam kem Manchester United, Brentford, Norwich dan Watford.Pertembungan antara United dan Brighton di Old Trafford, kunjungan Brentford ke laman Southampton, pertemuan antara Watford dan Crystal Palace serta West Ham menentang Norwich ditunda termasuk kunjungan Leicester ke Everton.


"Kes COVID-19 semakin memuncak di semua kelab Liga Perdana Inggeris. Semua orang sedang menanganinya dan mempunyai masalah.


"Untuk menangguhkan pusingan ini dan juga Piala Carabao (Liga) minggu depan mungkin akan memberikan ruang seminggu atau sekurang-kurangnya empat hingga lima hari untuk membersihkan padang latihan bagi memutuskan rantaian," kata pengendali Brentford Thomas Frank.


Bagaimanapun Liga Perdana tetap berkeras mahu meneruskan perlawanan yang dianggap selamat sambil menangani penangguhan perlawanan mengikut kes.

"Saya tidak akan terbabit dalam politik sukan ini. Perlawanan lain dibatalkan tetapi kami tidak, jadi kami terpaksa melakukan yang terbaik untuk cuba memenanginya," kata pengendali Chelsea Thomas Tuchel yang pasukannya diikat Everton 1-1.


Satu lagi perlawanan yang diteruskan ialah pertemuan antara Liverpool dan Newcastle di Anfield, di mana tuan rumah menang 3-1. - AFP

bottom of page