• newsatmy

COVID-19: Kes positif global lebih 122.6 juta, korban 2.7 juta

21 Mac 2021

JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 122.62 juta kes.


Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.


Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 29.77 juta kes.


Ini diikuti Brazil dengan 11.87 juta kes dan India dengan lebih 11.55 juta kes.


Manakala negara yang melebihi angka 4 juta kes adalah Rusia, United Kingdom dan Perancis sementara Itali dan Sepanyol melebihi 3 juta.


Turki, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico dan Poland mencatat lebih 2 juta kes.


Iran, Ukraine, Afrika Selatan, Czechia, Indonesia, Peru dan Belanda pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.


Manakala Kanada, Chile, Romania, Belgium, Israel, Portugal, Iraq, Sweden, Filipina, Pakistan, Switzerland, Bangladesh, Hungary, Serbia, Jordan dan Austria pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.


Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Maghribi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Lebanon, Arab Saudi, Panama, Slovakia dan Malaysia.


Negara lain merekodkan angka positif antara 100,000 dan 300,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 2.70 juta kes.


Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 541,000 kes.


Ini diikuti Brazil dengan lebih 290,000 kes, Mexico, India dan United Kingdom pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.


Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol, Colombia, Iran, Argentina dan Afrika Selatan.


Manakala negara yang mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian adalah Peru, Poland, Indonesia dan Ukraine.


Selain itu, Turki, Czechia, Belgium dan Kanada pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes. - AA