• newsatmy

COVID-19: Makan di restoran, keramaian punca peningkatan kes - Pakar Kesihatan

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Aktiviti yang membenarkan pelitup muka dibuka antaranya makan di restoran dan majlis keramaian menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Madya Dr Malina Osman menjelaskan, keadaan lebih terkawal apabila mengunjungi bazar, pasar raya atau sebarang aktiviti lain yang tidak memerlukan untuk membuka pelitup muka.


"Setiap kali kita memberikan kelonggaran daripada segi untuk makan di luar atau boleh melakukan majlis keramaian, kita akan lihat kes meningkat.


"Pada pandangan saya ia sangat berkaitan dengan kebenaran membenarkan membuka pelitup muka, demikian juga yang kita saksikan selepas Pilihan Raya Sabah yang mana bila keadaan sedemikian dibenarkan, banyak kes-kes baharu yang dicatatkan.


"Jadi saya berpendapat dalam tempoh dua hingga tiga minggu atau sebulan akan datang perlu dikaji semula kebenaran untuk membenarkan masyarakat makan di luar bagi membendung peningkatan yang tinggi berlaku.


"Untuk aktiviti ekonomi pada pandangan saya tidak ada masalah, kalau kita patuh kepada SOP, pakai pelitup muka, jaga jarak, tidak ada isu," katanya semasa sidang video pada Rabu.


Dalam pada itu Dr Malina turut mencadangkan kerajaan memperhebatkan usaha vaksinasi dalam kalangan mereka di lapangan.


Ujarnya, kerajaan juga boleh memulakan suntikan vaksinasi kepada mereka yang dikesan negatif semasa ujian pengesanan COVID-19.


Katanya, cara itu akan memastikan lebih ramai disuntuk vaksin dalam tempoh masa yang lebih cepat, sekali gus mencapai imuniti kelompok secepat mungkin. -Astro AWANI