• admin

Covid-19 masih isu kecemasan kesihatan global


GENEVA,20 OKT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa Covid-19 kekal sebagai isu kecemasan global, hampir tiga tahun selepas kali pertama diisytiharkan sebagai kecemasan. Jawatankuasa Kecemasan WHO buat kali pertama membuat pengisytiharan mengenai Covid-19 pada 30 Januari 2020. Pengisytiharan itu membantu mempercepatkan penyelidikan, pembiayaan dan langkah kesihatan awam antarabangsa untuk membendung penyakit itu.

Agensi PBB itu menyatakan bahawa dalam tempoh beberapa bulan lalu, walaupun kes menurun di beberapa kawasan dunia, setiap negara perlu mengekalkan tahap kewaspadaan, selain meneruskan program vaksinasi kepada penduduk yang paling terdedah kepada penyakit itu.

“Walaupun persepsi orang ramai bahawa wabak itu telah berakhir di beberapa kawasan dunia, Covid-19 kekal sebagai isu kesihatan awam yang terus memberi kesan buruk dan menjejaskan kesihatan penduduk dunia,” kata WHO.

Jumlah kematian mingguan Covid-19 adalah yang terendah sejak wabak itu bermula, namun WHO mengingatkan bahawa kes penyakit itu masih kekal tinggi berbanding virus lain.

“Pandemik ini telah mengejutkan kami sebelum ini dan mungkin sekali lagi,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.