• newsatmy

COVID-19: MSN arah lebih separuh atlet pulang ke kediaman

21 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Majlis Sukan Negara (MSN) mengarahkan sejumlah 355 atlet -- lebih separuh daripada jumlah keseluruhan -- untuk pulang ke kediaman masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.


Difahamkan, atlet yang diarahkan pulang itu terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kejohanan penting tahun ini dan mereka yang berada dalam program pelapis kebangsaan.


Atlet yang perlu meneruskan program latihan pula tidak dibenarkan untuk meninggalkan venue latihan MSN di seluruh negara, terutama buat mereka yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.


Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Persedian Atlet MSN, Jefry Ngadirin, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.


"Kita pernah melihat bahawa adanya jangkitan melibatkan atlet dan jurulatih negara apabila sedikit kelonggaran diberikan, jadi dengan langkah mengetatkan kawalan dan keselamatan atlet di dalam kem ini, kami rasa ia dapat mengurangkan penularan.


"Sekiranya mereka dijangkiti, sudah semestinya prosedur COVID-19 yang telah digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan yang telah diamalkan di peringkat MSN dan ISN (Institut Sukan Negara) akan dilaksanakan.


"Mereka akan diasingkan dan diuji sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau tidak dan seterusnya, rakan-rakan kontak rapat mereka juga akan diasingkan dan dikuarantin," katanya.


-Astro Awani