• newsatmy

COVID-19: Penggiat sukan dinasihat terus patuh SOP elak wujud kluster baharu

14 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Penggiat serta pemain sektor sukan dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagi mengelak wujud kluster baharu berpunca daripada aktiviti sukan.


Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata semua pihak, merangkumi individu yang melakukan aktiviti dan pemilik premis perlu bertanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing dengan baik, memandangkan negara masih belum memenangi 'peperangan' terhadap pandemik COVID-19.


"Memang kita kena berhati-hati kerana kita belum selesai dari segi menangani COVID-19, kita masih mempunyai cabaran di hadapan. Jadi orang ramai perlu memberi perhatian dan lebih bertanggungjawab dengan mematuhi SOP.



"Kalau boleh kita tak nak ada kluster daripada kegiatan sukan supaya segala kegiatan dan aktiviti sukan dapat diteruskan dengan lebih rancak. Jika timbul kluster, akan menjadi masalah nanti," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran semula Kiara Skatepark di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara di sini, hari ini.


Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) di negara ini meningkat kepada angka 1.0, sekali gus mungkin menjadi tanda awal lonjakan kes positif wabak itu.


Dr Noor Hisham dilaporkan berkata nilai Rt 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.


Perkara sama turut dibangkitkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya pada Khamis lepas, dan menggesa individu yang telah diberi janji temu dos penggalak COVID-19 supaya mengambil dos berkenaan.