• newsatmy

COVID-19: Sarawak dapat lampu hijau beli vaksin, bakal kemuka permohonan rasmi

18 Mac 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan lebih banyak dos vaksin COVID-19 menerusi kuota kebangsaan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata Kerajaan Negeri Sarawak telah menyediakan peruntukan untuk membeli sendiri vaksin.


Beliau memberitahu, pembelian boleh dilakukan melalui KKM atau altenatif lain yang diluluskan Kerajaan Persekutuan.


“Ia bagi melancarkan program imunisasi, sekali gus membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan vaksin dengan lebih cepat mengikut sasaran menjelang Ogos kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Kenyataan dibuat sebagai respons kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini berkata, Kerajaan Persekutuan boleh memberi kebenaran kepada Kerajaan Negeri untuk membeli sendiri vaksin.


Setakat Selasa lalu, Khairy berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana negeri berhubung cadangan pembelian sendiri dos vaksin.


Terdapat beberapa negeri termasuk Pahang, Sarawak, Johor dan Selangor yang telah menyatakan hasrat bagi tujuan berkenaan.


Perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin, sama ada mencukupi atau sebaliknya.


Kata Dr Sim, kebenaran untuk Sarawak membeli vaksin itu merupakan satu berita baik kepada rakyat di negeri ini.


Menurutnya, Kerajaan Sarawak sudah beberapa kali menyatakan hasrat kepada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu sebagai tambahan berikutan kekurangan bekalan serta akses kepada bekalan.


Sebelum ini, Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak mempertimbangkan untuk membeli vaksin sendiri bagi meningkatkan kapasiti program imunisasi negeri ini.


Setakat ini, Sarawak hanya bergantung kepada bekalan daripada KKM. - AA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.