• newsatmy

COVID-19: 'Saya teraniaya akibat kecuaian orang lain' - Tangisan Syawal Nabila Huda

23 Mei 2021

SYAWAL, bulan yang amat dinantikan umat Islam sebagai lambang kejayaan menempuh cabaran sepanjang Ramadan.


Namun, di kala dunia dilanda pandemik COVID-19, penularan kes jangkitan yang kian memuncak saban hari mengubah segalanya.


Aidilfitri yang dirai tidak semeriah dahulu, apatah lagi jika diri dijangkiti virus pembunuh itu.

Itu yang dilalui selebriti tanah air Nabila Huda yang mengaku berasa marah dan kecewa apabila dia disahkan positif COVID-19.


Semuanya berpunca akibat sikap sambil lewa sesetengah individu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.


“Apa yang membuatkan saya rasa ralat, apabila kita menjaga diri….


"Saya adalah orang yang teraniaya akibat kecuaian orang ... daripada orang yang tidak bertanggungjawab, tidak patuh atau jaga SOP, serta pentingkan diri.


“Menjadi antara mangsa, itu yang buat saya jadi macam geram, pada masa yang sama juga ia menjadi pengajaran kepada saya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.


Sebagai ibu, Nabila turut khuatir sekiranya ahli keluarga, terutama anaknya Keisha Laila, dijangkiti penyakit itu.


“Kalau anak saya positif, macam mana saya nak melalui semua ini kerana saya perlu jelaskan dengan bapa (kandung) dia.


“Saya takut sangat nanti masyarakat akan salahkan saya, bapa dia akan salahkan saya.


"Macam mana Keisha boleh dijangkiti? Saya bukan ibu yang baik? Macam-macam dalam fikiran."


Nabila pada masa sama tidak menyangka Aidilfitri buat keluarga kecilnya itu berubah sepenuhnya tahun ini.


“Sebelum larangan ziarah, Aidilfitri tahun ini saya memang sudah rancang nak masak dengan ‘papa’ (Amy) sebab kami tak boleh balik Singapura (kampung suami).


“Saya cakap dekat dia (suami), tak apa, kita beraya dengan ‘papa’, mesti ‘papa’ gembira.


"Kami sudah rancang nak masak. Kami amat teruja.


“Tetapi apabila dekat hari raya, COVID-19 semakin teruk. Kemudian saya dah fikirkan yang raya tahun ini macam tak raya.”


Nabila pada masa sama turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir selebriti yang memberi contoh tidak baik.


Menurutnya selebriti harus menjadi medium memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.


-Astro Awani