Arissa Azman
CTOS cadang beli saham syarikat fintech
25 Disember 2021

KUALA LUMPUR: CTOS Digital Bhd mencadangkan untuk pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat pakar fintech, Juris Technologies Sdn Bhd (JurisTech) pada harga tunai RM205.8 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, agensi pelaporan kredit itu berkata ia telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Natsoft (M) Sdn Bhd, syarikat induk yang dikawal oleh pengasas JurisTech, untuk cadangan pengambilalihan, sementara menunggu kelulusan pemegang saham CTOS Digital dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan datang. Ia berkata, pertimbangan pembelian itu dibuat mengikut 'willing buyer-willing seller' (kedua-dua pembeli dan penjual saling bersetuju) dan tarikh EGM akan diumumkan dalam masa terdekat. "Bagi membiayai proses pengambilalihan, CTOS Digital merancang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian saham baharu, mewakili sehingga 10 peratus daripada 1.1 bilion saham tertunggak semasa, sementara menunggu kelulusan pemegang saham pada EGM yang sama. "Syarikat itu juga akan meneroka pilihan pinjaman bank jika perlu," katanya. Ia berkata, jika tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijadualkan selesai menjelang suku pertama 2022. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Eric Hamburger, berkata syarikat itu menyasarkan untuk memanfaatkan kehadiran kukuh JurisTech dalam bank dan koperasi Islam.
Beliau berkata, JurisTech juga boleh membantu dalam meningkatkan lagi penguasaan dompet CTOS Digital di bank lain di Malaysia yang menggunakan produk JurisTech sebagai penyelesaian teras.
Selain itu, beliau berkata cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kedua-dua syarikat melengkapkan kekuatan satu sama lain untuk membawa cadangan penyelesaian pinjaman digital hujung ke hujung yang lebih kukuh ke dalam pasaran dengan menggabungkan data kredit terbaik dalam kelasnya, penyelesaian perisian dan perkhidmatan analitik, seterusnya mewujudkan diri mereka sebagai penyelesaian sehenti untuk institusi kewangan. "Perkongsian itu juga akan berada pada kedudukan yang baik untuk menangani peluang baharu yang muncul dalam ruang pinjaman digital kerana kedua-dua syarikat berusaha untuk membangunkan bersama pelbagai cadangan baharu dan unik bagi memenuhi keperluan pelanggan, termasuk bank digital, rakan setara, beli sekarang bayar kemudian dan penyedia pinjaman mikro/bayar pada hari gaji," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama JurisTech, See Wai Hun, berkata perkongsian itu akan mendorong syarikat memenuhi visinya untuk menyalurkan transaksi kewangan tanpa rintangan dan memacu keterangkuman kewangan dan inovasi teknologi yang lebih besar dalam keputusan kredit.
-BERNAMA