top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Cukuplah dengan satu eksperimen yang gagal – Ahmad Maslan

14 NOVEMBER 2021

MELAKA: Setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyeru kepada orang ramai supaya tidak mengulangi kegagalan eksperimentasi pada pilihan raya lalu pada kali ini.


Maslan berkata, kos politik nilainya tinggi dan menukar kerajaan bukanlah sesuatu yang mudah seperti menukar kereta dan baju.


“Cukuplah dengan satu eksperimen yang gagal jadi jangan ulangi lagi kesilapan lalu kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Menukar kerajaan bukanlah seperti menukar kereta dan baju.


“Oleh itu, kita berharap rakyat jangan tersalah pilih dan akan terus bersama Barisan Nasional. Kami tidak mahu terlalu yakin sebaliknya berusaha keras sehingga pukul 5.30 petang pada hari Sabtu depan.


“Biarpun sudah memenangi 13 tempat sebelum ini, namun kita jangan terlalu yakin. Kegagalan pada uji kaji lalu memberi pengajaran kepada banyak pihak untuk memilih sebaiknya,” katanya.


Tegas Maslan, biarpun tidak dibenarkan berkempen, namun itu bukanlah penghalang buat pihaknya untuk menyebarkan menifesto.


“Jika hendak berkempen tidak dibenarkan, maka kita minum pagi, makan tengahari kerana itu yang dibenarkan. Takkan hendak makan pun tidak boleh? Jadi apa yang boleh dibuat, teruskan saja.


“Jangan jadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai alasan untuk tidak berkempen,” katanya lagi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.


PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

bottom of page