top of page
  • cik skod

Dakwaan terhadap kami untuk alih perhatian kegagalan kerajaan


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa dua pertuduhan rasuah dihadapinya adalah cubaan kerajaan untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mengeluarkan idea baharu bagi menyelesaikan masalah rakyat.


Wan Saiful berkata, kerajaan mewujudkan pertuduhan kes yang tidak sepatutnya untuk menutup kegagalan mereka.


Beliau menzahirkan rasa kesal kerana kerajaan sepatutnya memfokuskan kebajikan rakyat seperti kos sara hidup, harga barang keperluan melambung naik dan tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang disuarakan rakyat setiap hari daripada pelbagai peringkat.

“Saya bersyukur sebab ada satu pasukan peguam bela yang bagi saya kukuh dan akan dapat membuktikan bahawa pertuduhan yang dikenakan kepada saya tidak sepatutnya berlaku dan saya mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

“Saya yakin melalui proses mahkamah akan dapat membuktikan bahawa tiada sebarang kesalahan yang dilakukan. Saya penuh yakin bahawa mahkamah adalah mahkamah yang adil, yang kita ‘bina’ sewaktu dalam kerajaan dahulu.

“Kita pastikan ada kebebasan di sisi mahkamah dan akan membuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan, Insya-Allah. Saya juga berterima kasih kepada media dan kepemimpinan BERSATU serta Perikatan Nasional (PN) sebab menunjukkan solidariti,” katanya pada sidang media di lobi mahkamah di sini, hari ini.


Wan Saiful berkata, kerjasama penuh diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang proses siasatan kes berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dengan penuh dedikasi dan baik. Saya tiada rungutan apa yang dilakukan membabitkan proses siasatan,” katanya.

bottom of page