top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

DAP bantu 4 individu fail semakan kehakiman haram kedai nombor ekor di Kedah

20 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: DAP mengambil langkah membantu empat individu di Kedah untuk memfailkan semakan kehakiman ke atas langkah kerajaan negeri menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan untuk kedai judi.


Memetik laporan Malaysiakini hari ini, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan Ramkarpal Singh berkata, mereka memohon untuk membatalkan langkah itu atas dasar ia “tidak munasabah” dan melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.


“Keputusan kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen sedemikian adalah ultra vires (melampaui) perlembagaan memandangkan kuasa untuk mengeluarkan lesen sedemikian terletak eksklusif di bawah bidang kuasa Parlimen.


“Plaintif akan berhujah lanjut bahawa keputusan tersebut oleh Menteri Besar (Muhammad Sanusi Md Nor) adalah tidak munasabah dan sewajarnya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dengan permohonan semakan kehakiman,” katanya dalam kenyataan semalam.


Ramkarpal berkata tindakan undang-undang itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi pihak empat orang individu di Kedah yang sebelum ini menyertai kegiatan judi berlesen.


Plaintif diwakili oleh firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.


Terdahulu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor berkata keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi memberi kelulusan lesen kepada premis perjudian untuk memperbaharui lesen mereka di negeri itu adalah muktamad.


Sanusi berkata, premis kedai nombor pertaruhan sedia ada perlu ditutup terlebih dahulu sebelum premis haram akan diambil tindakan selanjutnya.


Malah menurut Sanusi, beliau tidak gentar dengan sebarang tindakan undang-undang yang akan diambil berkaitan keputusannya dalam isu lesen perjudian di Kedah.

bottom of page