• newsatmy

DAP bidas menteri Sarawak keluar kenyataan bercanggah, kelirukan rakyat

30 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan negeri Sarawak didesak berhenti mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah.


Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mendakwa kenyataan bercanggah beberapa pemimpin negeri itu adalah membabitkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.


Dakwanya, beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri negeri mengelirukan rakyat terutama berkenaan isu penting yang sepatutnya diumumkan sendiri oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.


"Sebagai contoh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di laman Facebooknya berkata, Sarawak akan terus melaksanakan PKP 1.0 mulai 29 Mei 2021, berbanding menggunakan pendekatan dari bawah iaitu dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke PKP 3.0.


"Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pula mengeluarkan kenyataan bahawa Sarawak tidak akan melaksanakan PKP penuh seperti PKP 1.0.


"Perkara penting seperti ini seharusnya dinyatakan secara rasmi oleh JPBN Sarawak dan bukannya menerusi muat naik oleh kedua menteri ini di laman Facebook mereka," dakwanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.


Lebih mengelirukan, terutamanya sektor perniaagaan, kata beliau, apabila JPBN Sarawak mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 dari 29 Mei hingga 11 Jun, sedangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa yang sama mengumumkan 'total lockdown' di seluruh negara dari 1 hingga 14 Jun.


"Adakah tarikhnya 11 Jun 2021 yang harus diikuti oleh Sarawak atau 14 Jun 2021?," soal Chieng Jen.


Ujarnya, ini bukan kali pertama kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan mempunyai polisi dan SOP yang bercanggah antara satu sama lain.


"Semua perubahan ini yang dibuat dalam masa yang singkat mengelirukan rakyat dan sektor perniagaan yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan dengan cuba mengikuti setiap langkah keselamatan yang diumumkan oleh kerajaan," tambahnya.


-Astro Awani