DAP usul mengosongkan empat kerusi ADUN dibantah Parti Bersatu.
6 Mac
Langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang oleh kerajaan negeri DAP yang membawa usul mengosongkan empat kerusi ADUN dibantah Parti Bersatu.
Ketua Penerangannya, Senator Datuk Razali Idris mempertikaikan langkah usul mengosongkan kerusi diwakili dua ADUN Bersatu yang tidak pernah melompat menyertai parti lain dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai menyalahguna kuasa majoriti kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO dalam dewan.
“Perkara 14A tidak boleh digunapakai terhadap ADUN-ADUN Bersatu kerana mereka tidak pernah melompat masuk parti lain. Mereka menang dan dipilih sebagai ahli-ahli Bersatu dan mereka kekal sebagai ahli Bersatu hingga ke hari ini.
“Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di bawah pimpinan PH/-BN hanya akan menyalahgunakan kuasa majoritinya untuk menyingkir ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang telah dipilih secara sah tanpa sebarang alasan kukuh kerana mereka hanya mahu melemahkan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berhubung dua bekas ADUN PKR, Razali berkata kedua-dua mereka dipecat parti sebelum ini dan bukannya melompat sehingga mahu dijadikan mangsa politik semata-mata.
“Mengenai ADUN-ADUN PKR pula, amat jelas sekali bahawa Dewan Undangan Negeri pimpinan PH / BN telah bertindak secara eksklusif untuk menjaga kepentingan kepimpinan parti mereka.
“Hanya disebabkan Anwar Ibrahim tidak suka kedua-dua ADUN PKR itu, mereka telah disingkir tanpa sebarang alasan. Sehingga hari ini, PKR belum lagi menjelaskan mengapa kedua-dua ADUN mereka telah dibuang,” terangnya lagi.
Razali juga berkata pindaan dalam Akta Antilompat Parti secara jelas menyatakan parti bebas untuk mengubah pendirian politik tanpa menjejaskan status seseorang wakil rakyat, malah pindaan itu sudah diluluskan di peringkat Persekutuan.
“Biar saya jelaskan di sini. Bersatu lah yang telah mengundi agar perubahan dibuat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang lompat parti.
“Perlu ditekankan di sini, Bersatu hanya mengundi untuk perubahan tersebut kerana adanya peruntukan perlindungan yang mencukupi tertera di dalamnya. Maksudnya parti-parti politik telah dan kekal bebas untuk mengubah kesetiaan masing-masing. Dan parti-parti politik tidak boleh mengawal wakil-wakil rakyat masing-masing dengan ugutan pemecatan jika mereka bertukar parti.
“Kami tidak mahu merompak kuasa rakyat dalam memilih wakil rakyat pilihan mereka,” terangnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan DUN Pulau Pinang secara tergesa-gesa mengemukakan usul untuk mengosongkan empat buah kerusi DUN diwakili Perikatan Nasional pada sidang DUN hari ini.
Comments