• Arissa Azman

Dasar Agromakanan Negara 2.0 dimuktamadkan

21 Jun 2021

PUTRAJAYA : Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 sedang dimuktamadkan dengan fokus utama untuk memastikan sistem rantaian makanan negara dapat mendepani cabaran sekuriti makanan.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, adalah menjadi agenda utama kerajaan dalam memberi jaminan terhadap keselamatan bekalan makanan negara bagi memastikan bekalan makanan bukan sahaja mencukupi tetapi juga mampu dimiliki, selamat dan berkualiti.


Beliau berkata, pemodenan sektor agromakanan juga akan turut dipacu melalui adaptasi mekanisasi dan teknologi dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Katanya, ia seiring dengan perkembangan teknologi baharu dalam era digitalisasi serta adaptasi kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), peranan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diberi penekanan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).


"Usaha itu bagi meningkatkan produktiviti, sistem sokongan dan perkhidmatan, serta memperkasa rantaian nilai makanan yang secara langsung menyumbang kepada kelestarian sistem makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Malaysia sewaktu Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) kali ke-42 yang telah diadakan di Rome, Itali secara maya pada 14 Jun hingga semalam.


Delegasi Malaysia turut dianggotai oleh Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, sebagai wakil tetap Malaysia ke FAO.


Ronald berkata, persidangan FAO kali ke-42 itu juga membincangkan FAO Strategic Framework 2022-2031 yang dibangunkan melalui sesi konsultasi bersama negara-negara ahli serta rakan kerjasama FAO.


Beliau berkata, di peringkat serantau, delegasi Malaysia mengetengahkan keutamaan memacu transformasi inovasi dan digital dalam penggubalan dasar dan hala tuju sektor pertanian.


Menurutnya, Malaysia turut mengaplikasi dan memanfaatkan sumber-sumber berkaitan dalam menyokong pelaksanaan projek dan program di bawah Persidangan Serantau Untuk Asia dan Pasifik (APRC).


"Ia mampu memberi dimensi dalam memperkasakan lebih banyak negara-negara membangun melalui kerjasama dalam sektor pertanian dan makanan, terutamanya di dalam bidang teknologi dan inovasi, pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan," katanya.


Di samping itu, Ronald berkata, Malaysia menghargai usaha membangunkan kerangka strategik itu terutamanya melalui penekanan yang diberikan terhadap kelestarian, inklusiviti, sistem makanan yang mapan serta kepelbagaian tema melibatkan jantina, belia dan kumpulan etnik orang asal dalam mencapai agenda 2030.


Persidangan yang melibatkan Sesi Plenari, Commission I dan Commission II itu telah disertai oleh delegasi dari 183 negara Ahli melibatkan lebih dari 1,300 delegasi termasuk 119 menteri dan timbalan menteri negara-negara anggota.


--PN Online