• newsatmy

Dasar kerajaan dan kejayaan perlu diperjelas, pastikan rakyat dapat maklumat tepat - PM


BERA,20 Ogos: Dasar kerajaan dan kejayaan pelaksanaannya perlu diperjelas kepada rakyat supaya tidak keliru dengan fitnah dan kempen anti kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata penjelasan mengenai kedua-dua perkara itu juga, seharusnya dipertingkatkan supaya rakyat mendapat maklumat tepat.


Katanya program seperti Jom Masuk Kampung antara platform sangat baik untuk menjelaskan kepada rakyat dasar kerajaan, selain mampu merapatkan silaturahim penduduk selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia. "... banyak dasar diumumkan kerajaan dan kejayaan yang dicapai kerajaan, tetapi apabila ia tidak dijelaskan kepada rakyat, rakyat keliru terutamanya apabila ada kempen anti kerajaan atau pelbagai fitnah (terhadap kerajaan).

"Ini boleh menyebabkan rakyat keliru dan mereka (rakyat) tidak boleh dipersalahkan apabila keliru kerana informasi tidak sampai kepada mereka," katanya semasa berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi Kemas Daerah Bera 2022 di Felda Triang 3 di sini hari ini.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Program tiga bermula pada 18 Ogos lepas, antara lain melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan masyarakat setempat, seperti hebahan program kerajaan, gotong-royong, ceramah agama, pertandingan sukan dan ziarah kasih.


-- BERNAMA