top of page
  • newsatmy

Datuk Seri Saifuddin sambut Menteri Luar Turkiye lawat Malaysia


PUTRAJAYA,4 Ogos: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu bermula Rabu hingga Khamis.


Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan sulung itu susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ke Turkiye pada bulan lepas, serta sebagai persediaan bagi lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Turkiye.


Saifuddin dan Cavusoglu akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk merangka hala tuju bagi pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama sejak hubungan Malaysia dan Turkiye dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. "Selain daripada mengukukuhkan kerjasama sedia ada, kedua-dua negara juga akan meneroka bidang baharu yang berpotensi seperti keselamatan makanan, perbankan digital Islam, e-dagang, industri pertahanan, petroleum dan gas serta tenaga boleh diperbaharui," menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam.


Kedua-dua menteri luar itu juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkembangan serantau dan antarabangsa semasa perbincangan dua hala.


Semasa lawatan itu, Cavusoglu juga dijadual untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Jumlah dagangan Malaysia-Turkiye pada 2021 bernilai lebih US$4.09 bilion (RM16.97 bilion).

-- BERNAMA

bottom of page