• newsatmy

Defisit Malaysia masih lagi rendah

19 April 2021

KADAR defisit yang dicatatkan di Malaysia masih lagi rendah berbanding negara luar meskipun kerajaan sedang ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar defisit negara ketika ini berada pada sekitar enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


"Defisit bukan sahaja melanda Malaysia tetapi pengeluar minyak dunia turut berdepan masalah ini kerana kesan pandemik Covid-19,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan di Wisma Persekutuan di sini pada Ahad.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa ekonomi negara ketika ini.


Hadir sama pada lawatan itu ialah Pengarah DOSM Kelantan, Zuraidy Zainal Abidin.


Sementara itu, Mustapa berkata, kebanyakan negara luar difahamkan mengalami masalah defisit sekitar 10 hingga 15 peratus.


"Serangan Covid-19 merupakan cabaran ekonomi yang paling besar sedang dihadapi dunia ketika selain perang dunia kedua.


"Selain ekonomi, cabaran kesihatan terpaksa dilalui oleh masyarakat dunia ketika ini," ujarnya.


Tambah beliau, kerajaan bagaimanapun tetap bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara dengan merangka pelbagai strategi terutamanya mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkasakan perusahaan mikro.


- Sinar Harian