top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Deritanya bersalin di hospital kerajaan

27 Sept

Terpaksa duduk di kerusi untuk giliran melahirkan bayi, lebih parah lagi ianya berlarutan sampai makan hari disebabkan jumlah katil yang terhad, itu adalah salah satu kesulitan yang dialami oleh ibu hamil yang ingin melahirkan bayi di hospital kerajaan.


Memetik laporan Berita Harian, mereka juga berdepan dengan pelbagai kesulitan dimana perlu mencari beberapa hospital sebelum dimasukkan ke dalam wad, masing-masing mempunyai alasan yang sama, jumlah pesakit yang ramai dalam satu masa sehingga kekurangan katil.


Perkara itu dikongsikan oleh salah seorang ibu kepada wanita hamil, Noraini Ismail dimana terpaksa tukar-tukar hospital.


“Anak saya berdepan situasi yang amat memenatkan, dia terpaksa ke hospital atas arahan klinik kesihatan kerana menghidap diabetes. Seharian dia dan suami terpaksa dari satu hospital ke hospital lain.”


Katanya, anaknya dari Hospital Putrajaya sampai ke HKL dan terus ke Hospital Serdang.


“Pada mulanya anak saya ke Hospital Putrajaya tetapi mereka maklumkan katil penuh, jadi mereka rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bila sampai ke HKL, masalah sama berlaku, tak ada katil. Jadi terpaksa ke Hospital Serdang pula… Alhamdulillah akhirnya mereka terima, tetapi terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad.”


Kata Noraini, anaknya itu terpaksa tidur dalam keadaan duduk selama 3 hari sehinggalah Sabtu lepas, baru dapat katil wad bersalin.


“Disebabkan kekangan katil, pihak hospital terpaksa memberi laluan kepada kes kecemasan dengan ibu hamil yang belum menunjukkan tanda bersalin diminta menunggu sehingga ada kekosongan katil.”

“Selepas tiga hari menunggu, malam tadi (Sabtu) baru anak beritahu dapat katil. Itu pun masih panjang senarai menunggu dengan berpuluh lagi ibu hamil yang terima nasib sama, malah ada beberapa orang yang menunggu sejak Khamis lalu bersama anak saya belum dapat katil sampai hari ini (semalam).”

“Saya memang risau, jadi bila sudah ada katil, dengan tempoh bersalin pada bila-bila masa… paling lewat esok (hari ini), kuranglah sedikit kebimbangan akan keselamatannya.”


Kata Noraini, sepanjang waktu menunggu untuk mendapat giliran katil bersalin itu, anaknya terpaksa ke surau hospital untuk berehat . Malah kira-kira 30 ibu hamil yang lain juga melakukan perkara yang sama sebab tak tahan sakit badan.

Disebabkan perkara ini, Noraini berharap agar isu katil tidak dianggap situasi biasa di hospital kerajaan, sebaliknya Kementerian Kesihatan (KKM) mesti mencari jalan dan mengambil berat kebajikan dan aspek kesihatan ibu hamil.




bottom of page