top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Desakan Pembangkang hanya retorik politik semata – Mohamed Farid

30 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Bharu berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata sokongan tidak berbelah bahagi juga turut dizahirkan kepada Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Presiden BERSATU itu.



“Kami menyifatkan desakan-desakan yang dibuat oleh pembangkang hanya retorik politik semata dan menangguk di air keruh,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Perkara itu juga turut dizahirkan Ketua Armada Bahagian Kota Bharu, Mohd Ekhwan Mohd Hatta, yang menitikberatkan dan menghormati Rukun Negara sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan.


“Menjunjung kasih dan titah YDPA kerana sebagai tanda kasih sayang dan kecaknaan Tuanku YDPA kepada rakyat Malaysia. Setia kami kepada Tuanku YDPA dan Raja-Raja Melayu.


“Di samping itu, pihak kami yakin dan optimis YB Menteri pasti arif dan bijaksana dalam hal berkaitan perundangan dan perlembagaan. Sudah pasti YB Menteri mempunyai jawapan yang meyakinkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.


Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.


Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.


Pejabat Perdana Menteri memaklumkan semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.


Malah, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.




--PN Online

bottom of page