Matha Ahmad
Dewan Rakyat:Pentaksiran Berasaskan Sekolah sudah diperkenalkan sejak 2011 - Radzi

KUALA LUMPUR,1 Ogos: Menteri Pendidikan,Datuk Radzi Md Jidin menjelaskan,Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bukannya sesuatu perkara baharu, sebaliknya, pogram tersebut telah mula dilaksanakan sejak sepuluh tahun lepas,
Katanya lagi, sejak pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menumpukan kepada untuk pemerkasaan PBS.
Pemerkasaan PBS melibatkan beberapa komponen seperti Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) tambah beliau, “PBS telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah. Pentaksiran ini bertujuan untuk menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Dalam konteks PBD, pihak guru akan memantau kemajuan dan penguasaan setiap murid dalam proses pembelajaran mereka termasuk kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
“Jestru itu, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mengikut kesesuaian mereka,” jelasnya lagi.
Mohd Radzi berkata demikian ketika menjawab soalan Natrah Ismail (PH - Sekijang) yang mahu mengetahui impak jangka panjang terhadap pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 di sekolah rendah dan menengah.
Selain itu ,Natrah juga mahu perincian bagaimana pencapaian pelajar dalam akademik dapat diukur untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh, atau ke kolej-kolej bagi lepasan tingkatan tiga.
Menjawab soalan itu, Mohd Radzi berkata, KPM telah memperkenalkan sistem permohonan berpusat ke sekolah khusus iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) mulai tahun 2020.
“PKSK merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik, kolej vokasional, sekolah menengah kebangsaan agama dan Maktab Tentera Diraja.
“Pentaksiran ini merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan,” katanya lagi.
Mohd Radzi berkata, semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid, KPM dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan atau sekolah swasta adalah layak untuk memohon kemasukan ke sekolah khusus.
“Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus adalah melepasi syarat minimum PKSK serta aktif dalam aktiviti kokurikulum.
“Di samping itu, komponen PBD, PAJSK serta status sosial ekonomi (SES) turut digunakan dalam pemilihan murid ke sekolah khusus. PKSK juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya lagi.