• Arissa Azman

Di sebalik kesuraman ekonomi, Sarawak catat pulangan RM10 bilion - Abang Jo

10 Oktober 2021

KUCHING: Sarawak dijangka merekodkan pulangan meningkat sebanyak RM10 bilion tahun ini berbanding RM6 bilion pada tahun lalu, biarpun berhadapan situasi ekonomi menguncup akibat situasi global.


Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan ini adalah hasil langkah kreatif kerajaan negeri dalam melaksanakan kejuruteraan semula hasilnya, yang sekali gus memberi pulangan lumayan kepada ekonomi.


"Dibantu pengurusan kewangan yang berhemat, tanpa menjejaskan ketahanan kewangan semasa ataupun kedudukan fiskal pada hari-hari akan datang, negeri ini telah melalui cabaran tahun lalu dengan berhemah.


"Dan pada tahun ini, ekonomi Sarawak dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan positif antara 4 hingga 6 peratus," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Jamuan Negeri sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada Sabtu.


Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, bagi tempoh 2019 hingga September tahun ini, Kerajaan Sarawak telah menerima pulangan masuk sejumlah RM6.8 bilion daripada cukai jualan ke atas produk petroleum.


"Hasil yang lebih ini telah membolehkan negeri kita mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pakej-pakej bantuan BKSS (Bantuan Khas Sarawakku Sayang), untuk menyerap hentakan pandemik COVID-19, khususnya kesannya kepada rakyat, para peniaga kecil-kecilan dan industri kecil dan sederhana.


"Sebanyak tujuh pakej bantuan rakyat telah diperkenalkan sejak tahun lalu , dan ini menyumbang kepada belanjawan terbesar yang pernah diluluskan dalam sejarah negeri iaitu Belanjawan 2021 bernilai RM10.1 bilion," katanya.


Jelas Abang Johari, pakej bantuan ini telah dijayakan dengan 30 program dan inisiatif, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM5.30 bilion, antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah Kerajaan Negeri di Malaysia.


"Ini tidak termasuk peruntukan khas berjumlah lebih RM91 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) bagi menampung perbelanjaan menangani pandemik COVID-19 di negeri ini," ujarnya.


Kata Abang Johari lagi, hasil komitmen kerajaan negeri, program vaksinasi negeri kini sudah mencapai 90 peratus bagi penduduk 18 tahun ke atas manakala bagi remaja 12 hingga 17 tahun, hampir 75 peratus sudah menerima dos pertama.


Kini tegasnya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada memulihkan semula ekonomi negeri ini menerusi Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS 2030).


"Strategi ini memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi pada kadar purata 6 ke 8 peratus setahun.


Untuk tujuan tersebut katanya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM63 bilion untuk melaksanakan PCDS 2030.


"RM30 bilion daripadanya diperoleh daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, manakala RM33 bilion lagi menerusi dana alternatif," katanya.

Ujar Abang Johari, menerusi model kewangan kreatif dan penjanaan semula pendapatan ini, Sarawak diyakini akan terus menikmati kedudukan fiskal yang kukuh untuk memangkin pertumbuhan ekonomi Sarawak.


"Malah menerusi PCDS 2030, keyakinan pelabur terhadap kedudukan ekonomi Sarawak juga adalah tinggi kerana kita mempunyai strategi pembangunan yang komprehensif dan sistematik yang mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi kita secara mapan," tambahnya lagi.