• newsatmy

Digelar Perdana Menteri paling teruk, Najib senaraikan kejayaan di bawah pentadbirannya

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini 'membalas' kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah negara.


Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau dianggap teruk bagi kumpulan tertentu dan kroni mereka.


"Ya. Najib teruk. Najib teruk bagi mereka dan mereka. Segala-galanya, Najib hanya fokus kepada rakyat yang memerlukan.


"Najib tidak baik untuk mereka dan kroni-kroni mereka. Mereka dan mereka akan melakukan apa sahaja demi menghapuskan saya," katanya dalam entri di laman Facebook pada Selasa.


Terdahulu, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh Malaysia, dilaporkan MalaysiaNow mendakwa, mana-mana kerajaan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pekan itu akan menjadi teruk.


Dakwa Dr Mahathir lagi, Najib turut diketahui sebagai seorang penjenayah yang terlibat dengan pengubahan wang haram dan mencuri wang.


Mengulas lanjut mengenai panggilan 'teruk' itu, Najib turut menyenaraikan pelbagai usaha yang telah dilakukan sepanjang pentadbirannya dalam meringankan beban rakyat dan memajukan ekonomi negara.


Ia termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); Baucar Buku; Skim Latihan 1Malaysia (SL1M); serta bantuan kepada nelayan.


Selain itu, bekas Menteri Kewangan itu menyenaraikan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri dan kemudahan pengangkutan awam termasuk pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga katanya mencatatkan RM1.4 trilion dan berada di landasan ke arah mencatatkan RM2 trilion ketika itu.


"Aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan mencecah beratus bilion dan beri pulangan tinggi kepada rakyat dan kerajaan. Nilai Khazanah Nasional naik dari RM32 bilion kepada RM116 bilion.


"Selain itu, rizab tunai Petronas naik dari RM30 bilion kepada RM174 bilion," ujar beliau.


- Astro Awani