top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Dikait dalam Parti Bangsa Malaysia, Zuraida enggan ambil pusing soal politik

9 Januari 2022

ALOR GAJAH: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan, beliau tidak mahu ambil pusing soal hala tuju politiknya ketika ini.


Sebaliknya, tegas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, fokusnya kini adalah menyelesaikan amanah di peringkat kementerian dalam membantu meningkatkan pendapatan negara.


“Sekarang saya cuma mahu fokus kerja-kerja untuk meningkatkan pasaran sawit dan pendapatan negara. Itu lebih penting dalan keadaan pasca pandemik ini.

“Kita harus usaha untuk mengembali dan menstabilkan ekonomi negara, itu yang utama,” tegasnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Ziarah Prihatin Pasca Banjir di Pengkalan di sini, hari ini.


Sebelum ini, Zuraida bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara dua nama Ahli MPT Bersatu yang disebut-sebut bakal menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).


Ia susulan pemegang jawatan dalam PBM yang baru ditubuhkan adalah dalam kalangan mereka yang rapat dengan dua figura politik itu.


Antaranya ialah Timbalan Presiden I PBM, Haniza Mohamed Talha; Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad.


Dalam pada itu, mengulas kenyataan presiden baharu parti itu, Larry Sng yang mengatakan parti berkenaan tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas mendengar suara akar umbi, Zuraida menegaskan beliau tidak ambil maklum berhubung perkata itu.


“Kenyataan apa yang dikeluarkan oleh Larry itu, saya tiada maklumat sebenarnya,” jelas Zuraida.

bottom of page