• newsatmy

Dira ikut jejak arwah ayah santuni asnaf

7 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Aktiviti menyantuni asnaf dan fakir miskin mengisi aktiviti harian pelakon, Datuk Dira Abu Zahar sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri.


Dengan cara itu, Dira dapat menginsafi ketentuan hidup mereka yang kurang bernasib baik termasuk anak yatim piatu dan fakir miskin.


"Bantuan dalam bentuk keperluan harian dan asas seperti beras, susu, gula, tepung dan hidangan berbuka puasa diserahkan kepada komuniti terutama di kawasan Jasin.


"Sebagai individu yang terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sudah pasti ia menjadi keutamaan saya untuk membantu meringankan beban mereka," katanya kepada BH Online.


Malah, inisiatif itu mengeratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang antara masyarakat pada bulan mulia ini.


Dira atau nama sebenar, Khaidiriah Abu Zahar yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin, memiliki jiwa prihatin persis arwah bapanya yang cukup dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat.


Dira berkata, aktiviti amal memberi kepuasan kerana beliau dapat bertemu masyarakat biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).


Ini mengingatkan dirinya detik arwah bapa menjadi wakil rakyat yang akrab dengan masyarakat terutama penduduk kampung.


Dira tidak melepaskan peluang menziarahi pusara bapanya di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim, Bukit Palah dengan menghadiahkan bacaan ayat suci al-Quran.


Sambil mengalirkan air mata, Dira jelas merindui arwah bapanya yang meninggal dunia pada 2013.


Dira yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pernah menjadi pengacara televisyen (TV) dan memiliki reputasi hebat dalam dunia lakonan.


Selain itu, Dira yang aktif dalam penulisan skrip filem, pengarah drama dan teater, merancang mengusahakan perniagaan restoran di Kuala Lumpur sebaik pandemik COVID-19, berakhir.


-Astro Awani