top of page
  • cik skod

Disangka kes culik tapi rupanya berebut jaga anak

01 Okt

VIDEO tular pergaduhan melibatkan beberapa individu yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin bukan kejadian cubaan culik seperti didakwa beberapa pihak.


Sebaliknya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan perebutan hak penjagaan anak melibatkan ahli sebuah keluarga.


Jelasnya, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 1.30 petang yang mana seorang wanita yang juga warga emas mengadu cucunya yang berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantu perempuannya.


“Siasatan mendapati, video yang tular di media sosial yang pada mulanya disangka kes culik adalah kejadian berkaitan laporan yang diterima.


“Kejadian terbabit berlaku semasa kanak-kanak itu pulang dari sekolah dan perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak tahun 2013 selepas ibu dan bapa mangsa bercerai.


“Proses tuntutan hak penjagaan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu turut mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.


Selain itu tambah beliau, suspek turut membuat laporan polis menyatakan mangsa selamat dalam jagaannya.


“Suspek menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada peguamnya dan pihak polis untuk siasatan.


“Kita turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung video terbabit memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.

Sejak kelmarin, tular dua video yang masing-masing berdurasi satu minit tiga puluh saat yang memaparkan pergaduhan antara beberapa individu di hadapan SK Kepala Batas.


Menerusi video terbabit, kelihatan seorang wanita terjatuh ketika cuba mengejar seorang kanak-kanak perempuan yang dilarikan beberapa individu menaiki kereta.


Orang ramai dilihat turut cuba membantu menghalang kenderaan terbabit daripada meninggalkan lokasi kejadian.

bottom of page