• newsatmy

Diskaun PTPTN Langkah Prihatin Kerajaan – Wan Saiful

30 Oktober

KUALA LUMPUR, — Kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk memberi diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disambut baik dan diharapkan akan memberi manfaat kepada para peminjamnya.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya telah mengusahakan perkara itu bagi membantu anak muda yang terbeban dengan keadaan ekonomi.


“Terima kasih kepada Menteri Kewangan kerana meluluskan permohonan saya untuk memberi diskaun bayaran balik kepada peminjam PTPTN.

“Saya ambil maklum butiran yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2022 dan saya akan arahkan pegawai PTPTN membuat perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, sebagai maklum balas terhadap pembentangan Bajet 2022.

Wan Saiful turut menzahirkan penghargaan beliau dengan pelbagai peruntukan yang diberikan dalam rangka melindungi pekerjaan dan mencipta pekerjaan.

“Ini akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada anak muda dan mereka yang terkesan dengan Covid-19.

“Pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat. Program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran, dan lain-lain lagi adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari.


“Kita mesti beri tumpuan kepada program-program sebegini supaya kita dapat keluar dari kemelut ekonomi secara tuntas dengan cepat,” katanya.