• newsatmy

DNB diarah jelaskan isu teknologi 5G kepada Ahli Parlimen

18 NOVEMBER 2021

Digital Nasional Berhad (DNB) diarah mengadakan sesi libat urus dengan Ahli Parlimen pada masa terdekat bagi memberi penjelasan terperinci berhubung isu teknologi 5G.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sesi libat urus itu penting supaya apa yang dilakukan DNB telus dan penjelasan mengenai segala langkah yang sedang diambil dapat dibuat.


"Dalam pertemuan dengan mereka (DNB) baru-baru ini, saya sudah buat arahan khusus supaya DNB membuat libat urus dengan ahli Parlimen dan buat penjelasan secara terperinci kepada penyokong kerajaan dan pembangkang," katanya.


Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang mencelah sesi penggulungan kementeriannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.


Syed Saddiq ketika mencelah mencadangkan DNB mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen bagi mengutarakan sebarang cadangan dan kritikan mengenai isu 5G.


Sementara itu, menjawab soalan Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang mempertikaikan kos berjumlah RM16.5 bilion dalam penyediaan teknologi 5G oleh DNB, Annuar berkata, model digunakan DNB bagi pembangunan teknologi 5G tidak menggunakan dana kerajaan dan tiada sebarang jaminan diberikan.


"Ini akan diterangkan kepada Yang Berhormat apabila pertemuan dengan 'backbenchers' nanti. Tidak ada sebarang jaminan diberikan dan tidak menggunakan dana secara langsung daripada kerajaan.


"Saya harap akan dapat diberi penjelasan lebih terperinci. Kita buat kajian yang cukup mendalam termasuk model di Mexico yang mana berlaku kegagalan syarikat di sana.


"Kajian itu dalam pelbagai sudut termasuk rangkaian, pelanggan dan ia sangat berbeza dengan model dipakai DNB," katanya.


Mengulas lanjut, katanya, setakat ini, kos projek itu berjumlah RM16.5 bilion dengan RM11 bilion berasaskan tender dimenangi Ericson dan selebihnya adalah kos lain yang terbabit.


"Saya minta DNB buat pertemuan dengan Yang Berhormat supaya dapat memperincikan kos itu kerana perkara ini sering diperdebatkan," katanya.


Annuar berkata, model yang bakal digunakan kerajaan dalam melaksanakan rangkaian 5G akan diperincikan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, esok.


Beliau mengakui wujud perdebatan dalam memilih untuk menggunakan rangkaian lebih baik iaitu sama ada konsep multi sistem iaitu rangkaian 5G dikendali pelbagai syarikat telekomunikasi atau sistem rangkaian pemborong tunggal membabitkan syarikat tunggal.


Katanya, kerajaan sedar konsep penyedia tunggal yang dirancang digunakan mempunyai sejarah kegagalan di beberapa negara lain seperti Mexico.


"Kajian sudah dibuat mengenai punca kegagalan dan setakat maklumat kita peroleh, asas dan latar belakang masalah sangat berbeza sekali dan model 'single wholesale network' tidak sama dengan apa dirancang untuk digunakan melalui DNB.


"Menteri Kewangan akan buat penghuraian lebih terperinci berhubung DNB kerana DNB adalah syarikat bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, manakala kementerian mengawal selia sudut pembahagian spektrum serta pelaksanaan perkhidmatan kemudian nanti," katanya.




*Berita asal di DagangNews.com