• Arissa Azman

Dr Mohd Aleef dekati anggota masyarakat

25 NOVEMBER 2021

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dari Perikatan Nasional-BERSATU (PN-BERSATU), Mohd Aleef Yusof tidak mahu membebankan fikiran dengan memikirkan berada di blok kerajaan atau pembangkang.


Sebaliknya beliau memberi tumpuan kepada usaha mendampingi anggota komuniti bagi membantu mengatasi masalah mereka.Walaupun kempen dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah berakhir Sabtu lalu, anak muda berusia 35 tahun itu meneruskan rutin ketika berkempen dengan mendekati anggota komuniti ketika bersarapan di warung sekitar kawasan Sungai Udang.


Setiap kali beramah mesra dengan anggota komuniti tanpa mengira agama, bangsa, latar ekonomi dan seumpamanya, Dr Mohd Aleef sedia mendengar masalah mereka.


“Alhamdulillah, Allah beri kemenangan kepada saya, berkat sokongan padu sebahagian besar pengundi dan kerja kuat jentera pilihan raya, saya dipilih untuk memberikan perkhidmatan kepada anggota komuiti di kawasan ini.


“Yang penting ialah saya ingin bertemu seramai mungkin anggota komuniti bagi memperkenalkan diri dan menyatakan visi saya untuk membantu memajukan Sungai Udang,” katanya ketika ditemui di Sungai Udang, dekat sini hari ini.


Bekas doktor di sebuah hospital swasta di Bandar Raya Melaka itu berkata, beliau mendapati anggota masyarakat bukan setakat sudah mula mengenalinya, malah memberikan sokongan padu untuk beliau melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, katanya.


Sehubungan itu, beliau tidak mahu membebankan fikirannya dengan terlalu memikirkan sama ada beliau dan seorang lagi ADUN daripada PN-BERSATU, Dr Mohd Yadzil Yaakub di Bemban akan ditempatkan dalam blok kerajaan atau pembangkang.


Sebaliknya, yang lebih penting ialah usaha untuk menyelami masalah anggota komuniti dan berusaha mengatasinya demi kesejahteraan kehidupan seluruh anggota masyarakat, katanya.


Pada PRN Sabtu lalu, Dr Mohd Aleef mengejutkan banyak pihak,terutama Barisan Nasional (BN) apabila mencatatkan majoriti undi 530 bagi menewaskan calon BN, iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.


Dr Mohd Aleef memperoleh 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali yang memperoleh 6,259 undi; Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan-PKR) yang mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) yang memperoleh 471 undi.


Dr Mohd Yadzil memperoleh 4,211 undi dan menewaskan Datuk Koh Chin Han (BN) yang memperoleh 3,883 undi dan Datuk Tey Kok Kiew (PH-DAP) 3,095 undi, selain dua calon Bebas yang hilang deposit.


Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, BN tidak akan membabitkan kedua-dua ADUN terbabit dalam kerajaan negeri.


Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk dua ADUN terbabit dilantik sebagai EXCO kerana BN mempunyai kerusi melebihi dua pertiga.