top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Dr. Nordina yakin menang!

20 NOVEMBER 2021

MASJID TANAH: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Ayer Limau,Dr Nordina Abdul Latif yakin rezeki akan menyebelahinya. Beliau berkata, jika tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu dan beliau berdoa agar Allah memurahkan rezekinya untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau malam ini.


“Siapa tahu, sejarah bakal tercipta di kerusi Ayer Limau apabila Barisan Nasional (BN) buat pertama kali tumbang kepada PN, kata calon PN,” katanya.


Beliau berkata, keyakinan itu adalah berasaskan sambutan menggalakkan daripada pengundi, terutama wanita dan golongan belia, selain sedikit sebanyak golongan berusia lebih 50 tahun.


Beliau berkata, angin perubahan mula dirasakan sejak tiga hari lalu apabila beliau sudah menjelajah hampir 85 peratus daripada keseluruhan kawasan di Ayer Limau.


“Alhamdulillah saya menerima maklum balas amat positif daripada anggota komuniti, terutama pengundi yang saya yakin mahukan perubahan kali ini selepas sekian lama berada di bawah pemimpin BN.


“Hasil daripada penjelajahan di beberapa pusat mengundi, kebanyakan pengundi memberikan isyarat menyokong PN kerana mereka mengenali saya sebagai doktor yang memberikan perkhidmatan merawat mereka di Klinik Kesihatan Lubok Cina sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Ramuan Cina Besar, di sini hari ini.


Dr Nordina berkata, beliau mengenal pasti beberapa sungai di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina yang amat berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan berasaskan kekayaan hutan paya bakau yang menjadi habitat buaya, ikan dan udang galah.


“Sebelum ini ada cadangan oleh kerajaan negeri untuk membina chalet di beberapa lokasi di tebing sungai itu tetapi tidak menjadi kenyataan hingga sekarang,” katanya.


Dr Nordina berhadapan dengan calon Hameed Myhtheen Kunju Basheer daripada BN dan Mazenah Baharuddin daripada Pakatan Harapan.

bottom of page