• newsatmy

Drama gay: Kami mangsa kerakusan produksi tidak bertanggungjawab! - Danish Iskandar

12 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Walaupun telah memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku sehingga menimbulkan pelbagai isu dan reaksi pelbagai pihak, pelakon Danish Iskandar nyata masih kesal dengan apa yang melanda gara-gara penangan sebuah drama yang dikaitkan dengan aplikasi janji temu gay.


Pelakon yang berusia 17 tahun yang baru hendak memulakan perjalanan dalam industri hiburan itu tidak dapat mengelak rasa terkilan atas kerakusan produksi yang sanggup memperjudikan maruahnya atas nama keuntungan semata-mata.


“Dalam storyline dan perbincangan sebelum bermula penggambaran tidak ada langsung unsur gay malah ia jelas hanya tentang kisah persahabatan. Mereka memang tak jujurlah, mereka sembunyikan perkara-perkara ini.

“Kalaulah mereka beritahu awal perkara ini wujud dengan mempromosikan aplikasi tentang gay atau terdapat adegan yang seperti apa yang berlaku sudah tentu saya takkan terima. Mereka memang macam perangkap kita untuk terima watak ni,” jelasnya kepada Astro AWANI ketika ditemubual pada Sabtu.


Malah jelasnya adegan-adegan yang terkait dengan perwatakan sejenis itu sebenarnya tidak wujud dalam skrip asal lakonan dan pihak produksi telah meminta untuk ditambah ketika penggambaran berlangsung.


Walaupun cuba mempertikaikan tindakan tersebut Danish terpaksa melakukanya memandangkan kontrak telahpun ditandatangani.


“Kita telah teliti satu persatu babak yang ada dan memang tidak ada babak tersebut sampailah mereka sendiri tambah. Kita memang ada tanya kenapa adanya babak ini sebab babak tersebut memang agak pelik dan ia mampu mendatangkan isu.


“Tetapi mereka seperti cuba memanipulasi keadaan dengan meyakinkan kami dengan pelbagai alasan. Mereka cuba yakinkan bahawa babak ini sebenarnya cuba menggambarkan keakraban sesebuah persahabatan,” katanya lagi.


Beliau turut mengakui kesan yang dialaminya bukanlah sedikit malah turut terpalit tempiasnya kepada keluarga beliau.


“Keluarga setakat ini Alhamdulillah cuma emak agak terkesan kerana kritikan yang melampau dari sesetengah pihak. Malah saya sendiri ada masanya ketika mengambil peperiksaan SPM Percubaan tidak dapat menghabiskan kertas peperiksaan.


“Pernah saya terpaksa bangun dan berlalu meninggalkan kertas periksa kerana tekanan yang dialami. Saya harap netizen juga tidak cepat menghukum sedangkan kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan kami alami,” katanya yang mengakui ada banyak pengajaran yang dikutipnya atas apa yang berlaku.


Danish juga akan meneruskan tindakan undang-undang sewajarnya terhadap produksi tersebut bagi membolehkan kebenaran dan keadilan pihaknya terbela.


Malah dia juga katanya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang dalam memilih sesebuah drama untuk meneruskan bakatnya dalam bidang lakonan.