top of page
  • cik skod

'Drogba Ganu' kecewa gagal tebus duka 2018


KUALA TERENGGANU,12 Sept: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche mendedahkan dia antara individu yang paling kecewa selepas percubaan kali keduanya untuk merangkul trofi berprestij dalam Liga Malaysia (Liga M) bersama skuad Penyu 'berkubur'.


Malah penyerang kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Ganu' itu turut melahirkan kekecewaan selepas pasukannya tidak berupaya memperagakan aksi sebenar pada pentas final Piala FA menentang gergasi Liga M, Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.


Bagaimanapun pemain berusia 35 tahun itu menjelaskan tiada istilah putus asa dalam diari hidupnya, sebaliknya dia bertekad untuk bangkit memburu trofi Piala Malaysia pula musim ini lebih-lebih lagi usianya kian meningkat.


Pada 2018, penyerang yang sudah meledak lapan gol setakat ini gagal membantu skuad Penyu menjulang trofi Piala Malaysia sesudah tumpas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Perak selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat 3-3.


"Secara peribadi saya begitu kecewa selepas percubaan kali kedua bersama TFC untuk menghadiahkan trofi tidak kesampaian, sebelum ini (2018) saingan Piala Malaysia kami tewas, kali ini kami gagal pula merangkul trofi Piala FA, tapi inilah bola sepak.

"Sejujurnya saya akui kami tidak beraksi dengan permainan sebenar dalam pentas final itu, tapi saya dan rakan sepasukan sudah berusaha untuk memberikan tentangan yang sengit kepada skuad Harimau Selatan itu, tapi JDT beraksi lebih baik berbanding kami.


"Buat peminat setia TFC, kami tahu pengorbanan besar anda untuk datang ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada kami, terima kasih dan tahniah diucapkan kerana sokongan menakjubkan diberikan.

"Pada masa sama kami berasa sedih kerana harapan menggunung anda gagal kami realisasikan, mohon maaf, saya harap sokongan anda tidak akan berubah kerana ianya amat membantu kami ketika beraksi," katanya ketika dihubungi.


Pada aksi final Sabtu lalu, Tchetche meledak satu gol ketika pasukannya tumpas 1-3 kepada JDT hasil jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi dan dua gol menerusi Bergson Da Silva.


BH

bottom of page