• Arissa Azman

Dua kes Omicron dikesan di Johor

26 Disember 2021

JOHOR BAHRU: Dua kes varian Covid-19 Omicron dikesan di Johor pada 25 Disember, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, kes itu membabitkan sepasang suami isteri yang pulang daripada mengerjakan umrah di Arab Saudi.


“Pasangan itu pergi ke Arab Saudi pada 4 Dis dan pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Dis.


"Ujian PCR dilakukan ke atas pasangan itu sekembalinya mereka dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan untuk proses penjujukan genomik, yang kemudiannya mengesahkan mereka positif untuk varian Omicron," kata Vidyananthan dalam satu kenyataan.


Beliau berkata pasangan itu kini menjalani pengasingan di rumah mereka di Johor Baru.


"Semua kontak rapat kedua-dua kes itu telah dikenal pasti dan telah dikeluarkan dengan arahan pengawasan rumah," kata Vidyananthan.


Beliau berkata, susulan perkembangan itu, semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya menunaikan umrah diingatkan supaya mematuhi perintah kuarantin wajib.


"Kegagalan mematuhi arahan akan membawa kepada penularan virus Covid-19, termasuk varian Omicron, dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat," kata Vidyananthan.


Beliau berkata, memandangkan sambutan Tahun Baharu akan datang, Jabatan Kesihatan negeri ingin menasihatkan orang ramai supaya menjalani ujian kendiri sebelum melakukan aktiviti berkumpulan atau menziarahi keluarga dan rakan-rakan.


"Jabatan juga ingin menggesa mereka yang layak, mendapatkan suntikan penggalak vaksin Covid-19 supaya mereka mendapat perlindungan optimum terhadap virus itu," kata Vidyananthan.