top of page
  • admin

DUN Kedah lulus RUU Anti Lompat Parti


ALOR SETAR 15 Mac: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu meluluskan dengan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2023 berhubung larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti. 
 Usul berkenaan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Perikatan Nasional-Jeneri) dan disokong Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Perikatan Nasional- Tokai). 
 
Sebelum itu, seorang ADUN daripada blok kerajaan dan empat daripada blok pembangkang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU berkenaan. 



Kesemua mereka adalah Ketua Pembangkang, Datuk Zamri Yusuf (Pakatan Harapan- Suka Menanti); Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang- Jitra); Mohd Azam Abd Samat (Perikatan Nasional- Sungai Limau); Datuk Norsabrina Mohd Noor (Barisan Nasional- Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang- Anak Bukit). 
 RUU ini akan diwartakan 1 April depan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. 
 Sebelum ini, RUU Anti Lompat Parti diluluskan secara sebulat suara dan disokong 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, 28 Julai lalu. 
 Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos serta berkuat kuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu.

Yorumlar


bottom of page