• Nizam

DUN Tanjung Bidara taruhan Rauf

5 November

PRN MELAKA | Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dijangka membuat penampilan sulung sebagai calon pilihan raya pada bulan ini.


Menurut laporan Utusan Malaysia Beliau mungkin bertanding DUN Tanjung Bidara. Dun Tg Bidara merupakan kubu kuat UMNO di Melaka.


Pada PRU ke-14 lalu Umno memenangi kerusi berkenaan melalui Md Rawi Mahmud yang memperoleh 58.15 peratus dan margin terbesar daripada keseluruhan undi yang ada. Ia berlaku ketika sentimen pengundi pada 2018 lebih cenderung kepada Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod pada PRU 2018 Ab Rauf tidak bertanding dan BN gagal mendapat mandat untuk kembali menjadi kerajaan negeri. Selepas beberapa Adun PH berpaling tadah untuk menjatuhkan gabungan berkenaan, BN membentuk kerajaan negeri yang baru.

Adun Lendu dilantik menjadi ketua menteri yang baru manakala Ab Rauf dijadikan speaker DUN Melaka.


BN dijangka mengumumkan senarai calon-calon mereka esok (6 Nov). Suruhanjaya Pilihan Raya pula menetapkan hari penamaan calon pada 8 Nov, manakala hari pengundian pada 20 Nov.


Antara mereka yang dijangka dicalonkan ialah Ketua Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad di Pantai Kundor dan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Khaidhirah Abu Zahar (Rim) serta Ketua Pemuda Umno Melaka Akmal Salleh (Merlimau).


Turut dijangka disenaraikan ialah seorang lagi anggota MKT Umno Rais Yasin (Paya Rumput), Ketua Umno Hang Tuah Jaya Ridhwan Ali (Pengkalan Batu), Timbalan Ketua Umno Hang Tuah Jaya Hasnoor Sidang Husin (Bukit Katil), Ketua Umno Kota Melaka Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas) dan ahli Jawatankuasa Umno Tangga Batu Mohd Fasarul Md Isa (Sungai Udang).

Sulaiman pula dijangka kekal bertanding di Lendu. Rahmad Mariman (Molek) dan Zaidi Atan (Serkam) juga dipercayai akan kekal bertanding di kawasan masing-masing.