• Arissa

Ee Yi gusar Terbuka Taiwan dibatalkan

16 Ogos 2021

PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi, gusar apabila Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan, yang sepatutnya bermula 8 September ini, terpaksa dibatalkan berikutan penularan wabak COVID-19.


Terbuka Taiwan merupakan kejohanan ketiga dibatalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas Terbuka Korea Selatan dan Macau atas faktor sama.


Kini, Ee Yi dan pasangannya, Ong Yew Sin, berharap agar saingan Terbuka Perancis, Denmark dan Indonesia selepas ini tidak akan terjejas, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk menyertai Kejohanan Badminton Dunia hujung tahun ini.


"Kerana kami tidak dapat menyertai Sukan Olimpik, jadi kami berharap kejohanan lain akan bermula selepas temasya itu," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.


"Saya rasa ia berita yang agak kurang baik kerana kami tidak dapat menyertai kejohanan.

"Selepas ini akan ada kejohanan di Eropah pula, jadi kami berharap ia tidak akan dibatalkan," katanya.


Ee Yi dan Yew Sin kini berada di ranking kesembilan pusingan kelayakan ke Kejohanan Dunia di Sepanyol.


Ia masih belum memberikan keselesaan buat mereka kerana hanya tiga beregu daripada setiap negara akan bersaing dalam kejohanan penutup musim itu.


"Memang agak merisaukan juga kerana Kejohanan Dunia merupakan satu kejohanan yang besar buat karier kami.


"Jadi, saya berharap tidak akan ada apa-apa masalah untuk kami menyertainya," tambahnya.



--PN Online