top of page
  • newsatmy

Eizlan mahu pastikan industri filem kembali rancak

25 Mac 2021

Pelakon Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), berkuat kuasa mulai 15 Mac 2021 hingga 22 Mei 2022.

Eizlan yang berkongsi perasaan teruja menerima amanah besar diberi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah itu berikrar untuk menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan industri perfileman tanah air terus rancak walaupun ketika pandemik Covid-19 belum berakhir.

"Filem dah siap. Tapi penerbit selesa ambil sikap tunggu dan lihat untuk tayangkan filem mereka.

"Ia menyebabkan pengusaha punggung atau pempamer ketandusan filem untuk ditayangkan. "Justeru, menjadi tanggungjawab Finas untuk mencari satu mekanisme bagi win win situation untuk membantu kelangsungan perniagaan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Eizlan menduduki kerusi tersebut bagi menggantikan Norman Abdul Halim yang meletakkan jawatan awal bulan lalu.

Finas dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Eizlan merupakan Ahli Perbadanan Finas yang kini turut memegang portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas.

Katanya, antara misi akan dilaksanakan sebaik memegang jawatan tersebut adalah dia akan memastikan penerbit filem dan kandungan karya tanah air sentiasa mendapat tempat dan kerjasama antara pengusaha pawagam.

Ditanya sama ada dia mempunyai inisiatif untuk memperbaharui Skim Wajib Tayang sedia ada, Eizlan berkata, dia setakat ini berpuas hati dengan dasar dilaksanakan pengerusi terdahulu.

Katanya, selepas diberi taklimat oleh Jawatankuasa Skim Wajib Sayang, dia mendapati tiada keperluan untuk membuat rombakan.

"Dia juga ada pelan yang baik untuk penerbit filem tanah air dan saya tak ada isu jika perkara tu bawa kebaikan kepada semua pihak.

"Bagi saya, tidak perlu ada perubahan besar ke arah itu bagaimanapun sekiranya ada keperluan untuk penambahbaikan kelak mungkin saya akan pertimbangkan perkara tersebut.

"Kalau nak buat perubahan akan makan masa dan beri beban besar pada Ahli Jawatankuasa Finas, saya juga bukan jenis yang terburu-buru nak buat perubahan sebaik pegang kerusi baru," katanya. - MK


bottom of page