top of page
  • zaman

Ekonomi global menuju kemelesetan pada 2023 – Penyelidik


NEW YORK 28 Dis: Tahun Baru 2023 yang bakal tiba hanya dalam masa tiga hari lagi dijangka membawa ‘tiupan angin taufan’ yang tidak menyenangkan terhadap ekonomi global yang bakal menghadapi kemelesetan, khususnya susulan kos pinjaman lebih tinggi bertujuan untuk menangani inflasi.


Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR) dalam kenyataannya berkata, ekonomi global melepasi AS$100 trilion buat kali pertama pada 2022 tetapi akan terhenti pada 2023, lapor Bloomberg.


“Ia berlaku apabila penggubal dasar meneruskan perjuangan mereka menentang kenaikan harga,” kata agensi perundingan British itu dalam Jadual Liga Ekonomi Dunia tahunannya.

Menurut Pengarah dan Ketua Peramalan CEBR, Kay Daniel Neufeld, kemungkinan ekonomi dunia akan menghadapi kemelesetan pada 2023 adalah akibat daripada kenaikan kadar faedah pinjaman sebagai tindak balas kepada kadar inflasi yang lebih tinggi.


Laporan CEBR itu turut menambah bahawa pertempuran menentang inflasi belum dimenangi lagi.

“Kami menjangkakan bank pusat akan berpegang pada senjata mereka pada tahun 2023 walaupun kos untuk menurunkan inflasi ke paras yang lebih selesa adalah prospek pertumbuhan yang lebih buruk untuk beberapa tahun akan datang,” jelas Neufeld.


Jangkaan CEBR itu lebih pesimis berbanding ramalan terkini daripada Tabung Kewangan Antarabangsa yang sebelum ini, pada Okt 2022, memberi amaran bahawa lebih satu pertiga daripada ekonomi dunia akan menguncup; dan terdapat 25 peratus peluang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berkembang kurang daripada 2 peratus pada 2023, yang ditakrifkannya sebagai kemelesetan global.


“Walaupun begitu, menjelang 2037, KDNK dunia dijangka akan meningkat dua kali ganda apabila ekonomi membangun dicetuskan oleh golongan yang lebih kaya.

“Imbangan kuasa yang beralih akan menyaksikan rantau Asia Timur dan Pasifik menyumbang lebih satu pertiga daripada pengeluaran global menjelang 2037, manakala ekonomi Eropah menyusut kepada kurang daripada satu perlima,” ujar kenyataan CEBR.


Kawalan politik China terhadap Taiwan

Kenyataan CEBR itu adalah berdasarkan pengambilan data asasnya daripada Tinjauan Ekonomi Dunia IMF; dan menggunakan model dalaman untuk meramalkan pertumbuhan, inflasi dan kadar pertukaran.


Menurut kenyataan itu lagi, China kini belum bersedia untuk mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia sehinggalah paling awal pada 2036 – enam tahun lewat daripada jangkaan.

“Ia mencerminkan impak dasar sifar Covid-19 China dan ketegangan perdagangan yang meningkat dengan Barat yang telah memperlahankan pengembangan ekonominya,” ujar CEBR lagi.


CEBR pada asalnya menjangkakan peralihan itu (China mengatasi AS sebagai peneraju ekonomi global) berlaku pada 2028, namun pada lepas, tahun jangkaan itu diletakkan ke 2030.


Peralihan kuasa ekonomi global, ujar ramalan CEBR lagi, tidak akan berlaku sehinggalah 2036 dan mungkin berlaku lebih lewat jika Beijing cuba mengawal Taiwan dari segi politik dan berdepan sekatan perdagangan balas.

“Akibat peperangan ekonomi antara China dan Barat akan menjadi beberapa kali lebih teruk daripada apa yang kita lihat berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine.

“Hampir pasti akan berlaku kemelesetan dunia yang agak mendadak dan kebangkitan semula inflasi, tetapi kesan kepada China akan menjadi lebih besar berkali-kali ganda dan ini boleh menjejaskan sebarang percubaan untuk memimpin ekonomi dunia,” kata CEBR.

Ia juga meramalkan bahawa India bakal menjadi negara ketiga terbesar di dunia dari segi ekonomi menjelang 2032

“United Kingdom akan kekal sebagai ekonomi keenam terbesar di dunia, dan Perancis ketujuh dalam tempoh 15 tahun akan datang tetapi Britain tidak lagi bersedia untuk berkembang lebih cepat daripada negara-negara Eropah lain kerana ‘ketiadaan dasar berorientasikan pertumbuhan dan kekurangan visi yang jelas tentang peranannya. di luar Kesatuan Eropah (EU)’,” jelas CEBR.


Tambah kenyataan itu lagi, rkonomi sedang pesat membangun dengan sumber asli akan mendapat ‘rangsangan yang besar’ kerana bahan api fosil memainkan peranan penting dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui


“Ekonomi global adalah jauh daripada tahap KDNK per kapita AS$80,000, yang mana pelepasan karbon dipisahkan daripada pertumbuhan – bermakna, campur tangan dasar lanjut diperlukan untuk mencapai sasaran mengehadkan pemanasan global kepada hanya 1.5 darjah di atas paras pra-industri,” kata CEBR

bottom of page