• Arissa Azman

Ekonomi kembali rancak, impak positif dirasai Q4 kata penganalisis

14 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sektor ekonomi termasuk kebenaran rentas negeri yang diumumkan oleh kerajaan bermula 11 Oktober lalu membantu merancakkan kembali ekonomi rakyat yang terkesan berikutan penularan pandemik COVID-19.


Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebenaran merentas seharusnya bakal merancakkan ekonomi negara terutamanya sektor-sektor yang berkaitan pelancongan seperti penerbangan, perhotelan, makanan dan minuman, hiburan dan pelbagai lagi.


“Tahun 2020 telah menyaksikan kejatuhan di dalam perbelanjaan pelancongan domestik yang merudum ke paras RM40.4 bilion berbanding RM103.2 billion yang dicatatkan pada tahun 2019.


“Oleh itu, kita boleh menjangkakan pemulihan di dalam angka ini yang mana rata-ratanya dibelanjakan antaranya bagi tujuan membeli belah, bahan api dan penginapan,” katanya kepada DagangNews.com.


Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula Isnin lalu.


Menurut Mohd Afzanizam, kesan atau impak positif hasil daripada kebenaran untuk merentas negeri seharusnya akan dapat dirasai pada suku ke empat tahun 2021 dan seterusnya.


“Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia akan terus berhati-hati berikutan risiko jangkitan yang masih lagi jelas ketara meskipun kadar vaksinasi telah melebihi 90% bagi populasi dewasa,” ujar beliau.


Perdana Menteri ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri pada Ahad berkata, keputusan itu susulan kadar vaksinasi mencapai 90%.


Dengan keputusan ini, kata Ismail Sabri, rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang lama berpisah, melancong dan sebagainya.


Sementara itu, Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim berkata- peningkatan ekonomi dijangka akan berlaku secara beransur-ansur sejajar pelonggaran sekatan secara berperingkat.


Secara umum katanya, prospek ekonomi dijangka kembali memulih mulai suku tahun keempat, disokong pelonggaran kawalan pergerakan termasuk kebenaran perjalanan merentas negeri.


“Kami menjangka peningkatan perbelanjaan dalam negeri akan turut disokong permintaan terpendam (pent-up demand).


‘’Pemulihan perbelanjaan domestik akan menjadi faktor utama kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada Q4 2021,” kata Abdul Mui'zz.


Menurut beliau, peningkatan eksport dan aktiviti pengeluaran turut akan menyokong pemulihan ekonomi kerana lebih banyak syarikat dibenarkan meningkatkan kapasiti pengeluaran apabila ekonomi dibuka semula serta ramai pekerja yang telah divaksin penuh.