• newsatmy

Ekonomi Malaysia berkembang 6.5 peratus – IMF

19 Mac 2021 PETALING JAYA: Ekonomi negara dijangka pulih tahun ini dengan pertumbuhan diunjur berkembang 6.5 peratus, dipacu pemulihan yang kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan.


Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya berkata, pemulihan tersebut adalah impak daripada pelaksanaan vaksinasi bermula bulan lalu.


“Pemulihan ini tidak akan sama dalam semua sektor dengan kelembapan yang berterusan dalam industri sentuhan tinggi. Dari sudut permintaan, perbelanjaan kerajaan dan pemulihan permintaan domestik serta luaran akan menguatkan pertumbuhan.


“Inflasi akan memulih kepada dua peratus manakala lebihan akaun semasa akan merosot kepada tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berikutan permintaan membabitkan peralatan berkaitan pandemik yang berkurangan dan peningkatan permintaan domestik telah menaikkan import,” kata kenyataan itu.


Menurutnya, defisit imbangan perjalanan akan berterusan memandangkan sekatan perjalanan antarabangsa yang berlanjutan pada separuh pertama 2021. Malah, kadar pengangguran mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada Mei 2020 dan inflasi juga melemah.


Bagaimanapun, IMF berkata, situasi pandemik yang semakin buruk dan kewujudan risiko-risiko lain berupaya membantutkan pemulihan ini.


“Ini akan meningkatkan lagi kekangan dari segi penawaran aktiviti ekonomi dan seterusnya menjejaskan permintaan domestik. Dalam kes ini, pemulihan ekonomi 2021 akan jadi lebih lemah.


“Di peringkat domestik, risiko fiskal daripada liabiliti luar jangka boleh berlaku manakala ketidaktentuan dasar domestik berupaya menjejaskan keyakinan dan pelaburan perniagaan,” jelasnya.


Malah komitmen kerajaan untuk membentuk pembaharuan fiskal dan pengukuhan tempoh sederhana disambut baik IMF dan melihat rasionalisasi perbelanjaan dan langkah meningkatkan pendapatan adalah perlu bagi membina semula penampan fiskal setelah pemulihan sepenuhnya diselesaikan.


Malaysia juga digesa memulakan persiapan bagi langkah-langkah pemulihan dan menyatakan bahawa Akta Tanggungjawab Fiskal akan membantu meningkatkan kewangan awam dengan lebih baik.


Dalam masa sama, kerajaan diharap dapat meningkatkan kecekapan dan liputan untuk sistem perlindungan sosial termasuk terus membenarkan kadar tukaran asing menjadi penampan kepada kejutan ekonomi.


IMF turut menekankan langkah aliran modal sedia ada perlu dihentikan dari semasa ke semasa ekoran persekitaran pasaran.


Sementara itu, Pensyarah Kanan di Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, semakan unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dibuat oleh IMF dan beberapa agensi penarafan antarabangsa menunjukkan program imunasi yang dilaksanakan semakin membuahkan hasil apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka.


Selain itu katanya, pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion bakal mempercepat pemulihan ekonomi.


“Pemerkasa adalah pemangkin dan menambah baik Belanjawan 2021 kerana ia memberi impak secara langsung kepada golongan sasar iaitu rakyat yang kesan limpahannya adalah kepada ekonomi,” katanya.


Dalam pada itu, Bursa Malaysia memberi reaksi positif kepada laporan dan pelaksanaan Pemerkasa apabila ditutup 1,627.99 mata, naik 0.19 peratus daripada kelmarin. Jumlah kaunter untung mengatasi rugi iaitu sebanyak 634 berbanding 615. – UTUSAN

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.