top of page
  • newsatmy

Eksport biodiesel Malaysia dijangka susut tahun ini - MBA

24 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Eksport biodiesel Malaysia dijangka susut ke paras 350,000 tan tahun ini -- terendah dalam tempoh empat tahun berikutan tekanan susulan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) serta pandemik COVID-19.


Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), UR Unnithan berkata eksport biobahan api berasaskan sawit dianggarkan mencecah 378,582 tan pada tahun lepas.


Bagaimanapun, katanya, eksport menjadi lebih perlahan selepas EU bertindak mengenakan sekatan terhadap penggunaan minyak sawit sebagai bahan api pengangkutan pada 2019 atas alasan kebimbangan berkaitan dakwaan pembasmian hutan dan berhasrat menamatkan penggunaannya menjelang 2030.


"Eksport biodiesel Malaysia diunjurkan tidak mencatat prestasi sebagaimana yang pernah direkodkan pada 2019 berikutan pelaksanaan 'Delegated Regulation' di bawah 'European Union Renewable Energy Directive (EU RED II)," katanya pada Persidangan dan Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2021 secara maya di sini, pada Selasa.


Acara dua hari yang berakhir pada Rabu, telah mencatat sejumlah 2,500 pendaftaran dan hampir 1,700 peserta dari 55 negara.


Mengulas selanjutnya, Unnithan berkata MBA turut mengunjurkan bahawa keseluruhan penggunaan biobahan api sawit oleh EU pada 2019 adalah sebanyak 6.2 juta tan.


"Kami berpendapat bahawa angka eksport sebenar ke EU pada tahun ini adalah di paras lebih rendah berikutan tindakan negara-negara anggota kesatuan itu yang memperjuangkan agenda menolak biodiesel berasaskan sawit.


"Selain itu, ada kemungkinan negara anggota itu bertindak menamatkan penggunaan biodiesel jauh lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan pada 2030," katanya.


Beliau berkata, pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan gangguan bekalan yang serius dan menyebabkan tebaran gas/minyak sawit yang tinggi.


Berikutan itu, tekanan membabitkan bekalan itu dijangka berterusan sehingga separuh kedua 2021.


"Sokongan terhadap harga sememangnya amat kukuh pada masa ini. Namun, apabila pengeluaran kembali meningkat, saya jangkakan pasaran akan susut pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini.


"Oleh itu, unjuran saya bagi harga minyak sawit mentah (MSM) adalah pada RM3,500 satu tan bagi 2021," katanya.


-- BERNAMA


bottom of page