top of page
  • StrangePlay

Eksport Malaysia lebih berdaya saing dengan kenaikan faedah AS - Ahli ekonomi


KUALA LUMPUR 31 julai- Langkah agresif bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) dalam menaikkan kadar faedah akan memberi manfaat kepada dolar AS dan secara tidak langsung menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing, kata ahli ekonomi.

Ketua Penyelidikan Kekayaan dan Penasihat, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan kadar faedah AS sebanyak 75 mata asas (bps) pada Rabu lepas untuk mengurangkan inflasi berkemungkinan besar menyebabkan pasaran pendapatan tetap Malaysia mengalami aliran keluar asing kerana pelabur mencari pulangan yang lebih tinggi.


"Bagaimanapun, langkah AS itu akan mendorong eksport Malaysia dilihat lebih berdaya saing," katanya kepada Bernama. Beliau berpendapat pelabur akan memanfaatkan pengumuman terbaru Fed itu, terutama memandangkan Malaysia mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan beransur-ansur terhadap dasar monetari.

"Kadar agresif Fed secara tidak langsung akan menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing, namun penyusutan nilai ringgit juga mengakibatkan import lebih mahal khususnya bahan mentah," katanya.


Beliau berkata inflasi yang diimport boleh memberi tekanan kepada paras harga domestik.

Mohd Sedek turut memetik data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan import Malaysia mencapai nilai tertinggi sepanjang masa RM124.2 bilion pada Jun 2022, dengan RM64.4 bilion adalah barangan perantaraan.

"Indeks Harga Pengguna terkini pada 3.4 peratus tahun ke tahun menunjukkan inflasi didorong kos kekal menjadi kebimbangan yang besar, walaupun inflasi masih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran.

"Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan lagi kadar faedah sebanyak 25 bps pada September jika angka inflasi terus mengecewakan, dan ini akan menyebabkan ringgit terus menyusut," katanya.


Mengulas mengenai kenaikan kadar faedah terbaru AS, pakar ekonomi itu berkata kadar pengetatan daripada paras semasa mungkin lebih diukur dan berfungsi sebagai pendorong positif dolar.

Beliau yakin dolar AS boleh meningkat sehingga RM4.55 pada suku ketiga tahun ini sebelum ditutup pada RM4.50 menjelang akhir 2022.

Pada Jumaat, ringgit meningkat berbanding dengan dolar AS kepada 4.4495/4520 daripada 4.4515/4545 seminggu sebelumnya.

"Apa yang diharapkan daripada simposium dasar Jackson Hole oleh Fed pada 25 hingga 27 Ogos ini adalah ia akan memberikan isyarat yang lebih tepat sama ada kenaikan itu akan dikekalkan pada 75bps atau dikurangkan kepada 50bps.

"Kenaikan kadar akan datang (dengan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada September) akan bergantung kepada laporan pekerjaan dua bulan dan laporan inflasi. Berdasarkan jangkaan sedia ada, kenaikan kadar yang lebih rendah adalah munasabah atas beberapa perkara," katanya.


Mohd Sedek berkata Fed dijangkakan terus menaikkan kadar faedah tahun depan, walaupun secara kurang agresif, dalam usaha mengawal inflasi dan mengelakkan kemelesetan ekonomi.


Di samping itu, dengan mengandaikan kos bahan api menurun secara beransur-ansur, kadar inflasi juga mungkin susut kepada dua peratus menjelang akhir 2023, katanya.



-- BERNAMA

bottom of page