top of page
  • newsatmy

emart24 ke Malaysia dari Korea

30 Jun 2021

Kedai serbaneka paling pantas berkembang di Korea Selatan, emart24 kini melebarkan sayap ke Malaysia apabila telah membuka cawangannya yang pertama secara rasmi di Bangsar Selatan pada Selasa minggu lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Malaysia, Vuitton Pang Hee Cheah berkata, emart24 Malaysia teruja untuk berkongsi pengalaman dilalui pelanggan emart24 Korea Selatan bersama pelanggan di negara ini selain mentakrif semula persepsi ramai terhadap pengalaman di kedai serbaneka.


Katanya, selain menawarkan pilihan makanan jalanan eksklusif Korea Selatan serta rangkaian kecantikan K-Beauty kepada pelanggan tempatan, pihaknya juga amat berbesar hati kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam komuniti setempat.


“emart24 menawarkan makanan jalanan Korea Selatan yang segar, kopi harum, makanan ringan Korea eksklusif daripada label tersendiri iaitu ‘I’m e’ dan ‘No Brand’.


“Selain itu, kami juga menawarkan rangkaian kecantikan K-Beauty yang luas, menu makanan panas dan bakeri mesra Muslim apabila diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal diiktiraf,” katanya pada sidang media maya baru-baru ini.


Tambah Vuitton, pihaknya dengan kerjasama pelabur ekuiti swasta, Karrin Associates menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 10 lagi outlet di sekitar Lembah Klang sebelum penghujung tahun 2021, sementara 300 buah cawangan lagi juga dicadang akan dibuka di seluruh negara menjelang tempoh lima tahun lagi.


“Seramai 20 orang kakitangan terlatih telah dilantik di cawangan pertama emart24 di Bangsar Selatan, yang mana majoritinya telah kehilangan pekerjaan terdahulu gara-gara pandemik Covid-19.


“Selepas ini, emart24 bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Hartamas dalam masa terdekat. Diharapkan, perancangan kami untuk membuka sekurang-kurangnya 10 lagi outlet di Lembah Klang berjaya direalisasikan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.


Antara makanan jalanan halal Korea Selatan yang boleh didapati di emart24.

Turut menyertai sidang maya berkenaan ialah pePrincipal Karrin Associates, Tan Aik Chuan yang juga pelabur ekuiti swasta emart24 di Malaysia.


Dalam pada itu, Aik Chuan berkata, pengembangan emart24 di Malaysia adalah berasaskan slogan ‘Hello, neighbour!’ sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza buat pelanggan yang datang ke mana-mana kedai serbaneka lain sebelum ini.


“Kami merupakan kedai serbaneka terbaharu yang membawakan pengalaman peruncitan Korea Selatan yang mudah lagi mampu dimiliki di kawasan kejiranan anda. Kami percaya keselesaan dalam kehidupan harian harus sinonim dengan trend masa kini.


“Apa yang paling istimewa, harganya juga berpatutan manakala golongan muda yang hadir ketika majlis perasmian emart24 Bangsar Selatan tempoh hari juga teruja dengan kehadiran kami kerana meraih pengalaman dan suasana seolah-olah pernah menjejakkan kaki di bumi Korea Selatan.


“Selain itu, kami juga telah menjalin kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan seperti foodpanda untuk memudahkan pelanggan menempah produk eksklusif kami secara online,” ujarnya.


Sejak diasaskan pada tahun 2014, emart24 telah berkembang pesat kepada lebih 5,500 kedai dalam masa hanya tujuh tahun, sekaligus menempa nama sebagai kedai serbaneka Korea Selatan yang berkembang paling pantas.



bottom of page