top of page
  • newsatmy

Erra Fazira mula ambil watak ‘mak-mak’ ada anak dewasa, tak ‘demand’ asalkan bayaran berbaloi

26 Januari 2022

PERTAMA kali membawa peranan sebagai ibu yang mempunyai anak dewasa, pelakon Erra Fazira mengakui sudah tiba masanya untuk dia menerima watak sebegitu.


Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 48, yang membawa watak itu dalam filem Kongsi Raya juga berkata, ia juga disebabkan jalan cerita dan mesej pada karya itu membuat dia tertarik.


“Apabila terima tawaran ini saya tidak ada masalah untuk memegang watak sebagai ibu kepada anak yang sudah dewasa kerana jalan cerita dan cara penyampaian mesej filem ini sangat menarik.


“Saya tidak pernah diberikan watak sebegini. Sebagai pelakon ini adalah satu tanggungjawab untuk saya hidupkan jalan cerita.


“Rasanya sudah tiba masa untuk menerima watak sebegitu. Namun jika terlalu kerap akan jadi bosan pula,” katanya kepada mStar.


Erra memegang watak isteri kepada Harith Iskander dalam Kongsi Raya


Erra ditemui ketika majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya berjudul Kongsi Raya di Kuala Lumpur pada Isnin.


Pelakon filem Maria Mariana itu membawa watak ibu kepada watak Sharifah yang dilakonkan oleh Qasrina Karim yang berusia 25 tahun.


Sementara itu, bercakap soal bayaran punca dia menerima watak tersebut, Erra berkata, dia tidak pernah meletakkan harga yang tidak masuk akal.


Katanya, setiap naskhah yang diterima sudah dipertimbangkan dan berbaloi dengan kerja yang dilakukan.


“Saya bukan seorang yang demanding. Apa yang penting adalah bayaran diterima berbaloi.


“Kita harus berpijak di bumi nyata. Kalau watak kecil dan minta bayaran tinggi memang tidak masuk akal.


“Dalam hal begini saya seorang yang praktikal. Jika tawaran watak yang sangat menarik tetapi harga rendah, rasa rugi juga untuk tolak,” katanya.


Selain Erra, filem ini turut membaris pelakon seperti Qasrina Karim, Wilson Lee, Harith Iskander dan Chew Kin Wah.


Filem arahan Teddy Chin ini menelan kos belanja hampir RM2 juta dan bakal ditayangkan pada 3 Februari di seluruh pawagam.

bottom of page