• newsatmy

Euro 2020: Depay, Wijnaldum bantu Belanda cipta sejarah

22 Jun 2021

MACEDONIA UTARA 0 BELANDA 3


Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum mempamerkan prestasi cemerlang untuk menginspirasikan kemenangan 3-0 Belanda ke atas Macedonia Utara dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Euro 2020 awal pagi tadi, sekali gus membantu Oranje mencipta sejarah buat kali pertama menjaringkan dua gol atau lebih dalam 10 perlawanan berturut-turut.


Skuad kendalian Frank de Boer itu telah memastikan kemaraan lebih awal selaku juara Kumpulan C dan kempen Eropah buat lawan mereka juga sudah berakhir tanpa mengira keputusan di Amsterdam itu tetapi Macedonia Utara tetap mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas 0-3.


Aksi menarik dalam separuh masa pertama menyaksikan Belanda diberikan tekanan awal menerusi gol Ivan Trickovski yang dibatalkan dan percubaan Aleksandar Trajkovski pula terkena tiang.


Bagaimanapun, Belanda lebih bijak memanfaatkan peluang untuk membuka jaringan menerusi Depay.


Pemain baru Barcelona itu menemui jaringan pada minit ke-24 selepas saling bertukar hantaran dengan Donyell Malen dan dia turut melorongkan umpanan lintang rendah untuk disudahkan Wijnaldum bagi memastikan kelebihan 2-0 Belanda pada minit ke-51.


Pemain tengah Paris Saint-Germain itu kemudian menggandakan jaringannya berselang tujuh minit apabila memanfaatkan bola muntah susulan percubaan awal Depay.


Kemenangan itu juga menyaksikan Belanda menamatkan peringkat kumpulan dengan rekod bersih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.