• newsatmy

Euro 2020: Hamann yakin Portugal dihukum kerana Ronaldo berlagak

21 Jun 2021

CRISTIANO Ronaldo seperti 'memperbodohkan diri sendiri' kerana menunjuk-nunjuk kemahirannya dalam kekalahan kepada Jerman, awal pagi semalam.


Penyerang berbisa Portugal tersebut memecahkan kebuntuan perlawanan sebelum tersungkur 2-4, dan Didier Hamann percaya helah Ronaldo ketika dikawal ketat Antonio Rudiger itu telah mencetuskan kebangkitan Jerman.


Sebaik mendahului perlawanan, Ronaldo membuatkan penonton terpesona dengan hantarannya yang bersahaja sambil memandang ke arah lain biarpun sedang dikawal ketat oleh pertahanan Die Mannschaft itu.


Hamann membidas gerakan itu sambil memberitahu tidak melihat sebarang magis dalam tindakan berkenaan, malah membidasnya.


"Ia mengarut. Dia membalikkan bola itu dengan berpura-pura untuk menyambutnya sebelum menolaknya dengan tumit sambil berpaling ke arah lain," katanya.


Baginya, kekalahan itu memperlihatkan bintang Juventus tersebut nampak 'bodoh' berdasarkan keputusan perlawanan.


"Memang mengagumkan dapat menyaksikan kemampuannya. Saya rasa, ia menjurus keinginannya untuk merendah-rendahkan pihak lawan.


"Kedudukan baru 1-0 dan saya hanya duduk memerhatikannya tatkala semua orang berasa teruja. Ya, dia adalah yang terbaik termasuk Messi. Kini dia nampak bodoh. Perlawanan baru 1-0. Dia nampak bodoh.


"Kalau ditanya pemain Jerman sekarang, mereka akan memberitahu apa yang difikirkan. Mereka pasti akan terperasan tindakan itu.


"Kesemua mereka pasti mengatakan ia hanya membuatkan semangat mereka lebih membara untuk mengubah kedudukan."