• Hanna

Euro 2020: Hungary rentap ego Perancis

20 Jun 2021

HUNGARY 1 PERANCIS 1


Juara dunia, Perancis, terlepas peluang mengesahkan tempat mereka ke peringkat kalah mati Euro 2020 apabila mereka dikejutkan seri 1-1 dengan Hungary di tengah-tengah kemeriahan di Budapest.


Hungary sempat mengecewakan Portugal selama 84 minit sebelum kekentalan benteng mereka roboh dalam perlawanan pembukaan lalu dan mereka menghadirkan kegentaran buat Perancis dalam pertembungan di depan kepadatan penyokong tuan rumah itu untuk berkongsi satu mata.


Setelah mensia-siakan beberapa peluang keemasan, keutuhan pertahanan Perancis 527 minit dimusnahkan penyudah berbisa Attila Fiola pada masa kecederaan separuh masa pertama.


Begitupun Antoine Griezmann menyelamatkan maruah Les Blues dengan jaringan penyamaannya pada minit ke-66 -- selepas rayuan awal untuk sepakan penalti mereka tidak diendahkan -- namun cita-cita mereka untuk memburu kemenangan tidak kesampaian, sekali gus terpaksa membuat perhitungan dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F dengan Portugal.


Pada minit ke-14, Peter Gulacsi, sudah dipaksa bekerja di depan pintu golnya untuk mematahkan percubaan Griezmann dari jarak dekat sambil bendera ofsaid berkibaran bagi membatalkan tindakan penyerang tersebut sekiranya jaringan itu diledak.


Kylian Mbappe kemudian melepaskan satu tandukan liar selepas menemui hantaran silang Lucas Digne sementara Karim Benzema juga gagal menyempurnakan satu peluang yang lebih terbuka tidak lama kemudian.


Peluang yang terlepas itu kembali menghantui Perancis apabila Fiola menyusup dari sebelah kiri selepas bermain hantaran 1-2 dengan Roland Sallai.


Dia dengan tenang melepaskan satu rembatan bagi memperdayakan benteng terakhir pelawat, Hugo Lloris, lalu hampir menerbalikkan meja petugas teknikal di tepi padang akibat ghairah meraikan jaringan.


Kemasukan Ousmane Dembele ketika menghampiri sejam permainan menjadi pemangkin jentera serangan Perancis yang menyaksikan sepakan pemain Barcelona itu menggegar tiang, dua minit selepas dia dimasukkan.


Tekanan Perancis reda seketika apabila umpanan Mbappe dari sisi kanan-- selepas menghambat sepakan jauh Lloris -- disudahkan Griezmann dengan bantuan tampanan pertahanan lawan, Willi Orban.


Namun, Gulacsi menjadi wira pasukannya ketika menepis percubaan seterusnya daripada Mbappe sambil Perancis, yang mendakwa dikasari dalam masa kecederaan berikutnya, terus buntu mendapatkan gol kedua.