Euro 2020: Pavard pengsan selama 15 saat
16 Jun 2021
BENJAMIN Pavard mendedahkan bahawa dia tidak sedarkan diri selama "10 hingga 15 saat" sebelum kembali beraksi ketika Perancis menewaskan Jerman 1-0 dalam Euro 2020 awal pagi tadi.
Pavard mengalami gegaran kepala selepas bertembung dengan pemain Jerman, Robin Gosens, ketika pasukan juara dunia itu memulakan kempen mereka dalam saingan Kumpulan F di Munich.
Pertahanan Perancis itu tertiarap ke lantai sebelum menerima rawatan selama beberapa minit, di mana dia kemudian dibenarkan untuk meneruskan permainan tidak lama selepas itu.
"Saya menerima hentakan yang amat kuat," kata Pavard kepada beIN Sports selepas perlawanan itu.
"Saya tidak sedarkan diri selama 10 hingga 15 saat. Selepas itu, ia menjadi lebih baik."
Satu "piagam mengenai gegaran otak" telah ditandatangani kesemua 24 pasukan yang sedang beraksi dalam Euro 2020 -- satu komitmen bagi mengambil beberapa pertimbangan dalam menambah baik kesejahteraan pemain dan ia termasuk pemeriksaan neurologikal dan akses kepada ulang tayang televisyen buat doktor pasukan.
Bagaimanapun, insiden yang menimpa Pavard itu meningkatkan pesoalan mengenai protokol gegaran otak dalam bola sepak.
-Awani
Comments