top of page
  • newsatmy

Euro 2020: Perancis tidak sudi, Laporte enggan terhegeh-hegeh

29 Jun 2021

Aymeric Laporte mendedahkan mesej kirimannya langsung tidak diendahkan Didier Deschamps sebelum bertindak memilih Sepanyol berbanding Perancis di peringkat antarabangsa.


Pertahanan tengah Manchester City itu mengisytiharkan untuk memperkuatkan La Roja bulan lalu sebaik diberikan kewarganegaraan Sepanyol sekali gus mendorong namanya tersenarai dalam skuad 24 pemain menjelang Euro 2020.


Laporte mewakili Perancis di peringkat belia termasuk B-21 tetapi bukan sahaja tidak pernah diberikan penampilan senior, bahkan dihubungi Deschamps.


Pemain berusia 27 tahun itu telah membuat permulaan positif dalam kariernya bersama juara dua kali berkenaan dengan memastikan kekebalan benteng dalam tiga daripada empat awalnya.


Dia juga turut menemui penyudah gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Slovakia, minggu lalu.


Sepanyol menduduki tempat kedua Kumpulan E dan akan berhitung dengan Perancis dalam suku akhir sekiranya masing-masing mengalahkan Croatia dan Switzerland dalam pusingan 16.


Sebelum kempen bermula, Deschamps menegaskan dia hanya pernah dihubungi sekali oleh bekas tonggak Athletic Bilbao itu bagi membincangkan masalah kecederaannya sebelum pemain tersebut bertindak menafikannya.


"Enam tahun lalu mereka ada menghubungi saya. Tetapi pada 2019? Tidak, mereka tidak menelefon saya. Sungguhpun saya tidak ingin membangkitkan kisah ini lagi, saya tetap menghantar mesej tetapi tiada balasan," katanya kepada The Guardian.


"Saya ada buktinya di sini. Mungkin (Deschamps) telah menukar nombor telefonnya. Mungkin. Saya tidak tahu tetapi saya menghantar ke nombor yang sama yang sama ketika dia mula-mula menghubungi saya.


"Saya tidak mendapat jawapan daripadanya ketika itu. Bagaimanapun, atas segala yang berlaku jadi saya tidak menganggap bahawa saya cukup penting buat Perancis untuk memaklumkan apa-apa perkembangan kepada mereka.


"Kepentingan saya kepada mereka lebih merupakan isu media. Saya tidak berselindung mengenai hajat untuk mewakili mereka, bukannya tidak berusaha.


"Saya tidak mengatakan bahawa Perancis tidak menginginkan saya tetapi saya berterima kasih kepada pihak yang sudi mempertaruhkan saya.


"Sepanyol melakukannya dan saya berusaha untuk mengembalikan kepercayaan itu."


- PN Online

bottom of page